Hakim 'terganggu' SIS Forum tidak terikat fatwa

SIS Forum tidak terikat dengan fatwa yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat kerana ia dikategorikan sebagai syarikat.
SIS Forum tidak terikat dengan fatwa yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat kerana ia dikategorikan sebagai syarikat.
A
A
A

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Seorang Hakim Mahkamah Persekutuan di sini pada Khamis meluahkan rasa ‘terganggu’ apabila Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) tidak terikat dengan fatwa yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat, hanya kerana ia dikategorikan sebagai syarikat.

Hakim Datuk Abu Bakar Jais berkata demikian kerana SIS Forum sering mengeluarkan kenyataan dan pandangan berkaitan ajaran Islam.

Beliau merupakan satu-satunya hakim yang menentang keputusan majoriti tiga panel hakim dalam prosiding rayuan SIS Forum bagi membatalkan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada 2014, iaitu fatwa berhubung fahaman liberalisme dan pluralisme agama.

“Saya rasa terpanggil untuk menyatakan, tumpuan mahkamah tidak sepatutnya dibatasi oleh hujahan bahawa SIS Forum merupakan sebuah syarikat, maka ia tidak boleh tertakluk kepada fatwa.

“Adalah pendekatan yang mundur jika kita mengabaikan individu-individu di sebalik syarikat itu. Ini tidak wajar kerana kita sepatutnya mempunyai pandangan jauh dan kebijaksanaan untuk meneliti identiti mereka.

“Namanya sendiri ialah ‘Sisters In Islam’, jelas menunjukkan identitinya. Tidakkah itu cukup jelas? Saya tidak fikir begitu,” katanya.

Meskipun SIS Forum berdaftar sebagai syarikat, beliau menegaskan mana-mana entiti masih boleh terikat dengan fatwa, terutamanya dalam kes seperti rayuan tersebut.

Katanya, perkara itu bergantung kepada individu yang mengendalikannya dan sifat kerja syarikat tersebut yang melibatkan isu-isu berkaitan Islam.

Beliau berpendapat adalah silap untuk menganggap bahawa hanya kerana entiti itu bukan individu yang menganut agama Islam, maka peruntukan Perlembagaan Persekutuan tidak lagi terpakai.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan yang tepat apabila menolak semakan kehakiman dan memutuskan bahawa cabaran terhadap fatwa tersebut sepatutnya dibawa ke Mahkamah Syariah.

“Ini kerana ia berkaitan kawalan terhadap penyebaran ajaran, kepercayaan dalam kalangan orang Islam serta penentuan perkara berkaitan hukum dan doktrin Islam.

“Saya turut menolak hujahan SIS Forum yang mendakwa bahawa pelaksanaan fatwa memerlukan penglibatan agensi lain seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Hal itu tidaklah begitu penting kerana pertikaian mengenai fatwa berada dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“Saya rasa pelik jika Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan pertikaian berkaitan fatwa,” katanya.

Pada Khamis, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa fatwa yang dikeluarkan itu sah, namun tidak terpakai ke atas SIS Forum.

Dalam keputusan majoriti 3-1, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menjelaskan bahawa fatwa berkenaan sah terpakai kepada semua umat Islam, namun tidak melibatkan ‘orang-orang buatan’ seperti syarikat atau pertubuhan.

Susulan itu, mahkamah membenarkan rayuan SIS Forum dan pengasasnya, Datin Paduka Zainah Mahfoozah Anwar, berhubung fatwa yang diwartakan 11 tahun lalu, yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Tiga hakim yang menyokong keputusan tersebut ialah Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan.

Pada 21 Ogos 2023, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada SIS Forum dan pengasasnya untuk meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan mereka.

Sebelum itu, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 memutuskan bahawa fatwa berkenaan bukan keputusan muktamad dan oleh itu tidak boleh dicabar melalui semakan kehakiman.

SIS Forum dan Zainah memfailkan rayuan selepas gagal membatalkan fatwa tersebut di Mahkamah Tinggi pada 27 Ogos 2019.

Fatwa yang diwartakan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada 31 Julai 2014 itu mengisytiharkan bahawa SIS Forum, serta individu dan kumpulan yang mengamalkan fahaman liberalisme dan pluralisme, adalah sesat serta menyeleweng daripada ajaran Islam.

Fatwa itu turut mengarahkan agar penerbitan yang mengandungi pandangan liberal dan plural diharamkan serta dirampas, selain meminta SKMM menapis laman sosial yang bercanggah dengan hukum syarak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!