Cecair Methadone milik bapa, tersalah beri kepada tiga beradik - Polis

Shazeli memaklumkan, setakat ini siasatan masih belum selesai namun penemuan awal menunjukkan kejadian berlaku tanpa sebarang unsur jenayah.
Shazeli memaklumkan, setakat ini siasatan masih belum selesai namun penemuan awal menunjukkan kejadian berlaku tanpa sebarang unsur jenayah.
A
A
A

KAJANG - Cecair berbahaya jenis Methadone yang tidak sengaja diberikan kepada tiga beradik hingga menyebabkan salah seorang daripada mereka maut adalah milik bapa mereka.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, setakat ini siasatan masih belum selesai namun penemuan awal menunjukkan kejadian berlaku tanpa sebarang unsur jenayah.

“Berdasarkan siasatan awal, kita tidak nampak unsur sengaja atau niat. Ia lebih kepada kecuaian ibu bapa yang membawa kepada pengabaian.

“Siasatan juga menunjukkan ubat berkenaan adalah milik bapa kepada kanak-kanak tersebut yang sedang menjalani rawatan menggunakan metadon. Ia diperoleh daripada tempat yang sepatutnya,” katanya selepas Program Walkabout Langkah Selamat Santuni Komuniti Kajang di MRT Stadium Kajang di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, kecuaian dipercayai berlaku apabila ubat berkenaan tersalah beri, berkemungkinan disebabkan keadaan tergesa-gesa.

Mengulas mengenai keadaan terkini dua beradik terbabit, Shazeli berkata, kedua-duanya masih dirawat di hospital.

Shazeli (tiga dari kanan) memberikan cenderamata kepada wakil masyarakat sempena Program Walkabout Langkah Selamat Santuni Komuniti Kajang di MRT Stadium Kajang pada Sabtu.
Shazeli (tiga dari kanan) memberikan cenderamata kepada wakil masyarakat sempena Program Walkabout Langkah Selamat Santuni Komuniti Kajang di MRT Stadium Kajang pada Sabtu.

"Keadaan dua kanak-kanak ini menunjukkan pemulihan yang positif. Setakat ini, mereka masih di bawah rawatan doktor dan menunjukkan proses pemulihan yang baik. Tarikh discaj bergantung kepada penilaian pihak hospital,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, ibu bapa berusia 35 dan 44 tahun kepada kanak-kanak terbabit pula telah diberikan jaminan polis.

“Kita memberi jaminan polis kerana memahami situasi keluarga ini supaya mereka dapat menguruskan kebajikan, khususnya berkaitan urusan anak yang meninggal dunia,” katanya.

Dalam kejadian pada Rabu lalu, polis membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 membabitkan kematian kanak-kanak berusia 11 tahun yang dikatakan diberi cecair Methadone oleh ibunya.

Seksyen itu memperuntukkan kesalahan membabitkan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.

Insiden itu menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki maut, manakala dua adiknya kritikal selepas dipercayai diberi minum cecair berbahaya secara tidak sengaja.

Difahamkan, kejadian berlaku di sebuah rumah di Sungai Ramal Baru, Kajang, dengan tiga beradik itu dikejarkan ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Ringkasan AI

  • Cecair Methadone milik bapa tersalah beri kepada tiga beradik menyebabkan seorang maut
  • Penyiasatan awal tidak menunjuk unsur jenayah tetapi kecuaian ibu bapa
  • Methadone diperoleh dari tempat yang sepatutnya untuk rawatan bapa
  • Dua beradik yang terselamat masih dirawat di hospital dan menunjukkan pemulihan
  • Ibu bapa kepada kanak-kanak terbabit telah diberikan jaminan polis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!