Fatwa sah, tapi tidak terpakai kepada SIS Forum – Tengku Maimun

Mahkamah Persekutuan pada Khamis membenarkan rayuan SIS Forum untuk mencabar fatwa yang mengisytiharkan kumpulan hak asasi wanita itu sesat.
Mahkamah Persekutuan pada Khamis membenarkan rayuan SIS Forum untuk mencabar fatwa yang mengisytiharkan kumpulan hak asasi wanita itu sesat.
A
A
A

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Mahkamah Persekutuan di sini pada Khamis memutuskan bahawa ‘fatwa pemikiran liberalisme dan pluralisme agama’ yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor adalah sah.

Bagaimanapun, panel empat hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, menyatakan bahawa fatwa tersebut tidak terpakai kepada Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) kerana entiti itu merupakan ‘orang buatan’ seperti syarikat atau pertubuhan

Ketika membaca keputusan majoriti 3-1, Tengku Maimun berkata, fatwa berkenaan hanya sah kepada semua umat yang menganut Islam sahaja.

Menurutnya, perkataan 'orang yang menganut agama Islam' yang diguna pakai dalam fatwa itu hanya boleh merujuk kepada orang sebenar dan bukan ‘orang buatan’ seperti syarikat atau pertubuhan.

Dalam rayuan itu, beliau berkata, terdapat empat perkara dibangkitkan oleh SIS Forum dan pengasasnya, Zainah Mahfoozah Anwar selaku perayu pertama dan kedua, berkaitan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

Fatwa itu menyebut, pertama, perayu pertama dan mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Kedua, mana-mana terbitan yang berunsur pemikiran liberalisme dan pluralisme agama hendaklah diharamkan dan boleh dirampas.

Ketiga, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hendaklah menyekat laman-laman sosial yang bertentangan dengan ajaran Islam dan hukum syarak.

Artikel Berkaitan:

Keempat, mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam.

Tengku Maimun berkata, mengguna pakai prinsip undang-undang yang telah diputuskan, fatwa itu sah bagi perkara pertama (setakat mana ia merujuk kepada individu) dan keempat.

Katanya, ia kerana Jawatankuasa Fatwa Negeri Selagor, Majlis Agama Islam Selangor dan kerajaan negeri Selangor selaku responden pertama hingga ketiga, berada dalam bidang kuasa untuk membuatnya.

“Berbeza dengan perkara kedua dan ketiga, apabila mahkamah mendapati perkataan ‘orang-orang yang menganut agama Islam’ hanya boleh merujuk kepada orang-orang sebenar dan bukannya ‘orang buatan’ seperti sebuah syarikat.

“Tafsiran peruntukan perlembagaan ini adalah seiring dengan kedudukan hanya manusia sebenar dapat melafazkan kalimah syahadah, mendirikan solat, berpuasa di bulan Ramadan, dan menunaikan ibadah haji.

“Sementara sesebuah syarikat, sebagai ‘orang buatan’ atau ciptaan, tiada kapasiti untuk bertaubat seperti mana yang dicadangkan oleh fatwa tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim; Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Dalam keputusan majoriti 3-1, hakim menyokong keputusan berkenaan ialah Tengku Maimun, Abang Iskandar Abang dan Nallini, manakala Abu Bakar menentang.

Pada 21 Ogos 2023, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada SIS Forum dan pengasasnya, Zainah Mahfoozah Anwar, untuk meneruskan rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada tahun sama yang menolak rayuan SIS Forum untuk membatalkan fatwa tersebut.

Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 memutuskan bahawa fatwa yang disediakan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bukanlah satu keputusan muktamad dan oleh itu tidak boleh dicabar melalui permohonan semakan kehakiman.

SIS Forum dan Zainah merayu kepada Mahkamah Rayuan selepas mereka tidak berjaya dalam usaha di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan fatwa berkenaan.

Permohonan semakan kehakiman mereka telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 27 Ogos 2019.

Fatwa itu, yang diwartakan oleh kerajaan negeri Selangor pada 31 Julai 2014, mengisytiharkan bahawa SIS Forum, individu dan kumpulan yang mengamalkan fahaman liberalisme serta pluralisme sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Fatwa tersebut juga mengarahkan mana-mana penerbitan yang mengandungi pandangan liberal dan plural hendaklah diharamkan serta dirampas.

Ia turut meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menapis laman sesawang sosial yang bercanggah dengan ajaran Islam serta hukum syarak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!