Rayuan SIS: 'Tiada pihak menang atau kalah' - Persatuan Peguam Syarie

Laporan Sinar Harian mengenai Mahkamah Persekutuan yang memutuskan bahawa ‘fatwa pemikiran liberalisme dan pluralisme agama’ yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor adalah sah.
Laporan Sinar Harian mengenai Mahkamah Persekutuan yang memutuskan bahawa ‘fatwa pemikiran liberalisme dan pluralisme agama’ yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor adalah sah.
A
A
A

SHAH ALAM – Mana-mana individu beragama Islam yang bertanggungjawab atas tindakan sesebuah syarikat, pertubuhan atau institusi tetap terikat dengan fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri Selangor.

Penegasan tersebut dibuat oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membenarkan rayuan Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) dalam kes berkaitan pemakaian fatwa.

Presiden PGSM, Musa Awang berkata, sesebuah pertubuhan tidak bergerak sendiri sebaliknya digerakkan oleh individu tertentu yang bertanggungjawab di dalamnya.

Justeru itu, menurutnya, tiada pihak yang menang atau kalah secara mutlak dalam keputusan tersebut.

“Keputusan Mahkamah Persekutuan hanya menyentuh had pemakaian fatwa yang terpakai kepada orang-orang sebenar (natural persons) dan bukan kepada orang-orang tiruan atau buatan (artificial persons) seperti syarikat, pertubuhan atau institusi.

“Penghakiman tersebut tidak membatalkan atau menafikan keabsahan fatwa terhadap individu beragama Islam serta larangan ke atas mana-mana individu Islam daripada menganut fahaman pluralisme dan liberalisme, atau apa-apa fahaman lain yang bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Terdahulu, SIS Forum berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan berhubung pertikaian terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama Islam Selangor, yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Panel empat hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan serta membenarkan rayuan SIS setakat yang berkaitan dengan pemakaian fatwa terhadap pertubuhan dan institusi.

Dalam keputusan majoriti 3-1, Tun Tengku Maimun menjelaskan bahawa fatwa tersebut hanya terpakai kepada individu yang menganut agama Islam, dan bukan kepada entiti seperti syarikat atau pertubuhan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Musa menjelaskan bahawa Mahkamah Persekutuan menjalankan fungsi mentafsir peruntukan Perlembagaan Persekutuan, khususnya frasa "orang-orang yang menganut agama Islam" dalam Butiran 1, Senarai II – Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menegaskan bahawa mahkamah tidak membuat sebarang komen atau pandangan terhadap kandungan fatwa itu sendiri.

“Khususnya terhadap frasa seperti: ‘... fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam’ dan ‘mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam’.

“Ini bermakna, kuasa mengeluarkan fatwa berkaitan agama Islam ke atas umat Islam masih kekal dalam bidang kuasa eksklusif pihak berkuasa agama negeri, termasuk Jawatankuasa Fatwa, Majlis Agama Islam Negeri dan Kerajaan Negeri,” katanya.

Sehubungan itu, PGSM menggesa supaya penyemakan dan penambahbaikan terhadap peruntukan undang-undang berkaitan agama Islam dilakukan dari semasa ke semasa, melalui sesi libat urus yang melibatkan pelbagai pihak.

“Langkah ini bagi memastikan peruntukan yang ada bukan sahaja memenuhi keperluan hukum syarak, tetapi turut selari dengan undang-undang lain yang terpakai di negara ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!