Perlu mekanisme tentukan lafaz fatwa - Pakar perlembagaan

SHAH ALAM – Pihak berkaitan fatwa perlu mempunyai kaedah atau mekanisme khusus dalam menentukan sighah atau lafaz fatwa, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada Khamis yang membenarkan permohonan Sisters In Islam (SIS) Forum untuk membatalkan pemakaian satu fatwa terhadap pertubuhan itu.
Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, prosedur pewartaan fatwa perlu digariskan dengan jelas serta mengambil kira pandangan Penasihat Undang-Undang.
“Sesetengah negeri telah mempunyai dan mengamalkan prosedur tersebut, namun ada juga negeri yang masih belum mempunyai proses jelas mengenai perkara ini.
“Selain itu, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam perlu bertegas dengan mengarahkan semua fatwa negeri disemak semula bagi mengurangkan risiko disaman atau dibawa ke mahkamah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan SIS Forum dalam pertikaian berkaitan fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama Islam Selangor, yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam, sebagaimana diwartakan pada tahun 2014.
Keputusan itu diumumkan oleh panel lima hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menerusi penghakiman majoriti, yang membenarkan rayuan akhir SIS Forum dan dua pihak lain untuk mencabar keabsahan fatwa berkenaan.
Shamrahayu menjelaskan, walaupun mahkamah tidak membatalkan fatwa tersebut secara keseluruhan, impaknya tetap signifikan.
“Kita perlu berhati-hati dalam menggubal sighah fatwa apabila mahu menjadikan fatwa itu sebagai undang-undang. Sebagai satu bentuk perundangan, fatwa tertakluk kepada tafsiran.
“Ini bukan kali pertama institusi tersebut ‘kalah’ di mahkamah kerana isu sighah fatwa. Sebelum ini juga berlaku dalam kes Kassim Ahmad di Kuala Lumpur,” katanya lagi.
Shamrahayu menambah, meskipun wujud persoalan mengapa fatwa tidak terpakai terhadap ‘artificial person’, maka orang ramai perlu menunggu alasan penghakiman penuh daripada panel majoriti Mahkamah Persekutuan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

