Tukang cuci tidak mengaku amang seksual anak teman wanita

MELAKA - Seorang tukang cuci didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat, atas tiga tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kepada teman wanitanya yang berusia 15 tahun.
Tertuduh Tay Kok Seng, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Haderiah Siri dan Rohatul Akmar Abdullah.
Pertuduhan di hadapan Hakim Haderiah, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun, pada 19 November tahun lalu.
Dua lagi pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa sama pada 19 dan 20 November 2024.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik tidur di sebuah rumah di Taman Cheng Bestari, di sini, kira-kira jam 7.30 malam.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017 yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat bagi setiap pertuduhan, sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Wardah Ishhar memohon hukuman setimpal serta syarat tambahan supaya tertuduh tidak mendekati mangsa kerana sebelum ini mereka tinggal bersama.
Peguam Quek Kia Ping yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah dengan alasan tertuduh hanya bekerja sebagai tukang cuci dengan pendapatan sekitar RM3,000 serta menyara dua anak yang masih bersekolah.
Hujah, Kia Ping lagi tertuduh yang sebelum ini tinggal bersama mangsa sejak tiga tahun lalu kini telah tinggal berasingan dengan jarak sekitar 10 kilometer.
Sementara itu, Hakim Haderiah membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 bagi satu pertuduhan di hadapannya dan Rohatul Akmar membenarkan jaminan RM20,000 bagi dua lagi pertuduhan.
Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri setiap bulan di balai polis berdekatan selain dilarang mendekati mangsa dan berada sekurang-kurangnya 20 kilometer dengan mangsa.
Mahkamah juga menetapkan 21 Julai depan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

