[VIDEO] Warden dipenjara 6 tahun, 2 sebatan amang seksual dan liwat kanak-kanak
SEREMBAN – Seorang warden sebuah pusat pengajian al-Quran dipenjara enam tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah atas tiga daripada 15 pertuduhan meliwat serta melakukan amang seksual terhadap tujuh pelajar lelaki antara tahun 2023 hingga Januari lalu.
Tertuduh, Mohd Khairi Fitri Baharom, 38, dalam keadaan menangis membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim, Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Surita mengarahkan hukuman terhadap tertuduh berjalan daripada tarikh tangkap pada 25 Mei 2025.
Selain itu, beliau turut mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan dan pengawasan polis selama satu tahun selepas tamat menjalani hukuman penjara.
Mengikut tiga pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh mengaku telah melakukan amang seksual fizikal dan meliwat seorang kanak-kanak lelaki yang ketika itu berusia 12 tahun empat bulan dan 13 tahun empat bulan serta seorang lagi mangsa berusia 10 tahun tujuh bulan.
Kesalahan terbabit dilakukan di bilik warden sebuah Pusat Pengajian al-Quran di Jempol antara 15 hingga 20 Disember 2023 hingga 7 Januari 2025.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan, Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta yang sama.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana masih perlu menjaga ibu bapa selain masih belum berkahwin.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai memberi pengajaran.
Katanya, pengakuan bersalah tertuduh bukanlah faktor peringanan hukuman ditambah pula kes tersebut melibatkan kanak-kanak.
"Dalam kes ini, tertuduh seorang guru (warden) yang bertanggungjawab menjaga dan memastikan keselamatan kanak-kanak, tetapi tertuduh telah menyalahgunakan kuasanya dengan melakukan kesalahan seksual.
"Mohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran terhadap tertuduh dan mahkamah perlu melihat kepentingan awam melebihi daripada kepentingan tertuduh," katanya.
Beliau juga memohon tertuduh diarah menjalani kaunseling dan pengawasan polis.
Selain itu, tertuduh tidak mengaku bersalah atas enam pertuduhan melakukan amang seksual dan enam pertuduhan meliwat lima kanak-kanak lain termasuk mangsa sama yang berusia antara lapan hingga 12 tahun sembilan bulan.
Kesalahan itu dilakukan antara Mac 2024 hingga Januari 2025 di pusat pengajian sama dan di sebuah rumah di Kampung Rembang Panas, Kuala Pilah.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(b) Akta 792 serta Seksyen 377C Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, Norazihah tidak menawarkan jaminan bagi 12 pertuduhan tersebut berikutan tertuduh telah mengaku bersalah atas tiga pertuduhan.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 14 Julai depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
