Guru didakwa amang seksual pelajar dalam kereta

SEREMBAN - Seorang guru lelaki sebuah sekolah menengah di Tampin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun, bulan lalu.
Tertuduh, Muhamad Asyraf Ahmad, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun tiga bulan semasa kejadian.
Kesalahan terbabit dilakukan pada 17 Mei 2025, lebih kurang jam 9 pagi sehingga 9.20 pagi di dalam kereta di Kilometer 242.1 Lebuhraya Utara-Selatan(PLUS) arah utara, dalam daerah Rembau.
Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga disebat.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.
Beliau turut memohon syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan, tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan dan mangsa serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu diberi jaminan minimum kerana perlu menanggung dua anak serta ibu bapa yang tidak sihat selain membayar komitmen lain.
Katanya, dia merupakan seorang guru dan telah ditempatkan sementara di Pejabat Pendidikan Daerah Tampin sejak seminggu lalu.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin dan syarat-syarat tambahan dimohon pihak pendakwaan.
Sebutan semula kes 15 Julai depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!