Mayat pelajar warga Myanmar dijumpai terdampar di Pantai Batu Buruk

KUALA TERENGGANU - Pelajar warga Myanmar yang dikhuatiri lemas di Pantai Batu Buruk di sini pada Isnin lalu ditemukan pasukan penyelamat awal pagi Rabu selepas dilaporkan hilang lebih 36 jam.
Mayat mangsa, Sithu Moe Lwin, 18, ditemukan terdampar di pesisir pantai berkenaan kira-kira jam 2.30 pagi oleh pasukan penyelamat ketika melakukan rondaan menggunakan kenderaan lasak pelbagai permukaan (ATV).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Thoyyibah Taib berkata, mayat pelajar Kolej INTI International University itu dijumpai pada jarak 350 meter dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang.
"Mayat mangsa dijumpai terdampar di pesisir pantai dan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan sejak Isnin lalu ditamatkan jam jam 3.29 pagi pada Rabu," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.
Terdahulu, usaha pencarian pelajar Kolej INTI International University cawangan Nilai, Negeri Sembilan tersebut telah diperluas merangkumi kawasan sepanjang tujuh kilometer sehingga ke Pantai Pandak.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang ketika sedang mandi-manda di pantai berkenaan sebelum pihak berkuasa menerima panggilan kecemasan pada jam 12.19 tengah hari pada Isnin.
Pegawai Pengurusan Operasi dan Balai Bahagian Operasi Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu, Baharum Muhamad Hasim berkata, kejadian itu melibatkan sekumpulan empat remaja dimana tiga daripada terselamat.
Beliau berkata, empat pelajar iaitu dua lelaki dan dua perempuan datang ke lokasi kejadian untuk mandi-manda dimana tiga daripadanya merupakan warga asing dan seorang pelajar tempatan.
Kejadian menimpa mangsa mendapat perhatian ramai memandangkan Pantai Batu Buruk merupakan lokasi tumpuan orang ramai, namun sering berdepan risiko ombak besar dan arus deras.
Ringkasan AI
- Pelajar warga Myanmar lemas di Pantai Batu Buruk ditemukan selepas 36 jam hilang
- Mayat Sithu Moe Lwin, 18, ditemukan oleh pasukan penyelamat menggunakan ATV
- Lokasi penemuan mayat dalam jarak 350 meter dari tempat mangsa dilaporkan hilang
- Operasi pencarian dan penyelamat berakhir pada jam 3.29 pagi Rabu
- Mangsa bersama tiga remaja lain mandi-manda di pantai sebelum kejadian lemas berlaku
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
