Pernah bertemu dua kali sebelum jadi mangsa amang seksual pelakon

SHAH ALAM - Remaja perempuan berusia 17 tahun yang disyaki menjadi mangsa amang seksual oleh seorang selebriti terkenal difahamkan merupakan peminat kepada artis tersebut.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati mangsa pernah bertemu selebriti berkenaan sebanyak dua kali semasa menghadiri konsert artis tersebut.
Beliau berkata, perbuatan amang seksual itu terbongkar selepas ibu mangsa membuat laporan polis.
“Polis percaya mangsa merupakan peminat kepada selebriti itu.
“Daripada perjumpaan di beberapa lokasi, di situlah mereka mula berkenalan.
“Mangsa juga sebelum ini pernah berjumpa sebanyak dua kali dalam konsert selebriti terbabit,” katanya pada sidang akhbar, Jumaat.
Hussein berkata, pihaknya kini masih menunggu arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya selepas kertas siasatan telah diserahkan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).
Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa seorang selebriti terkenal ditahan berhubung kes amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.
Pelakon dan penyanyi tersebut dipercayai baru pertama kali membawa mangsa ke sebuah hotel.
Difahamkan, suspek dan mangsa mula berkenalan kira-kira dua bulan lalu.
Selebriti terkenal itu ditahan pada 3 Jun lalu selepas disyaki melakukan amang seksual terhadap pelajar terbabit di sebuah hotel di Selangor.
Bagaimanapun, suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
