Ketagihan vape, sekali cuba susah nak tinggal

“SEKALI cuba, susah nak tinggal,” demikian respons yang sering diluahkan penghisap tegar rokok elektronik atau vape apabila ditanya mengenainya.
Bermula dengan sekadar mencuba, perbuatan itu akhirnya menjerat diri sehingga menjadi tabiat harian yang sukar dikikis seolah-olah ia sebahagian daripada gaya hidup.
Fenomena sebegini tidak asing lagi dalam kalangan remaja dan golongan dewasa di negara ini kerana umum mengetahui, penggunaan vape semakin meningkat saban tahun.
Sebelum ini, tular satu rakaman video di media sosial yang memaparkan sekumpulan pelajar sekolah menghisap vape.
Di dalam rakaman berdurasi lebih seminit itu, pelajar lelaki dilihat menyedut dan menghembus asap berkepul-kepul sebelum menyerahkan peranti tersebut kepada rakan lain secara bergilir- gilir.
Terbaharu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilapor telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi meneliti isu penggunaan vape secara terperinci melibatkan penyalahgunaan bahan khususnya dalam kalangan pelajar.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu diambil susulan pelaksanaan Akta 852 (Akta Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2024) yang mula dikuatkuasakan sepenuhnya baru-baru ini.
Isu penggunaan vape tidak terhenti di situ sahaja apabila mendapat perhatian daripada aktivis sosial dan Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan), Tan Sri Dr Lee Lam Thye.
Beliau berpandangan, larangan terhadap penggunaan produk vape perlu segera dikenakan di seluruh negara bagi menangani peningkatan risiko kesihatan dan penyalahgunaan bahan terlarang dalam kalangan belia.
Jelasnya, berdasarkan data polis, rampasan cecair vape yang dicampur dadah meningkat 32 peratus manakala KKM pula mendedahkan bahawa 65.6 perratus cecair vape yang dirampas dalam tempoh dua tahun lalu mengandungi dadah berbahaya.
Lam Thye memaklumkan, beberapa negeri telah mengharamkan penjualan vape, namun peraturan yang berbeza menyukarkan pihak berkuasa untuk menangani masalah terbabit.
Beliau turut mencadangkan supaya umur minimum pembelian vape dinaikkan dan penguatkuasaan diperketatkan sebagai langkah serta-merta, di samping pelaksanaan kempen kesedaran.
Bagaimanapun, timbul persoalan penting iaitu kaedah untuk berhenti atau sekurang-kurangnya mengurangkan kebergantungan terhadap vape.
Justeru, antara langkah yang boleh dipertimbangkan adalah mendapatkan maklumat tentang kesan ketagihan menghisap vape.
Ramai beranggapan bahawa vape lebih selamat berbanding rokok biasa selain dikaburi pelbagai perisa yang mampu menghilangkan bau mulut.
Namun, kajian menunjukkan sebahagian cecair vape mengandungi nikotin, logam berat dan bahan kimia lain yang boleh menyebabkan radang paru-paru serta masalah jantung untuk jangka masa panjang.
Selain itu, bulatkan tekad dan niat sama ada mahu berhenti atau mengurangkannya secara berperingkat.
Contohnya, seseorang boleh meletakkan sasaran untuk tidak menggunakan vape selama satu minggu terlebih dahulu, sebelum meneruskan tempoh tanpa vape ke minggu seterusnya.
Dalam masa sama, sokongan daripada rakan dan keluarga amat penting untuk kekal konsisten.
Kebanyakan pengguna menghisap vape untuk menghilangkan tekanan atau sekadar mengisi masa lapang.
Jadi, mereka perlu mencari pengganti kepada tabiat tersebut misalnya bersenam, menyertai kelas senaman dalam talian, melukis, menulis jurnal atau mempelajari kemahiran baharu.
Dalam kes sebegini, bantuan profesional boleh memainkan peranan penting contohnya mendapatkan khidmat nasihat di klinik atau pusat kaunseling.
Difahamkan, bentuk rawatan ditawarkan termasuk terapi gantian nikotin yang akan membantu pengguna memahami corak ketagihan dan menguruskannya dengan lebih baik.
Akhir sekali, catat perjalanan sendiri kerana buat sesetengah orang, setiap apa yang dicatat boleh memberikan motivasi berterusan.
Setiap hari tanpa vape boleh ditulis dalam buku nota atau aplikasi khas dan apabila melihat kembali pencapaian tersebut, individu berasa lebih bersemangat untuk meneruskan perjuangan.
Perjalanan untuk berhenti tidak semestinya lurus dan tiada halangan, apa yang penting adalah mencuba semula tanpa berputus asa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

