Obesiti bukan lagi masalah individu

Kos rawatan penyakit berkaitan obesiti yang tinggi memberi tekanan besar kepada sistem kesihatan negara. Foto hiasan
Kos rawatan penyakit berkaitan obesiti yang tinggi memberi tekanan besar kepada sistem kesihatan negara. Foto hiasan
A
A
A

MALAYSIA kini berdepan situasi membimbangkan apabila lebih separuh penduduk dewasa mempunyai masalah berat badan berlebihan atau obes.

Keadaan itu menunjukkan perubahan gaya hidup masyarakat yang didakwa semakin kurang bergerak dan lebih banyak mengambil makanan tinggi kalori.

Obesiti yang dahulu dianggap masalah individu kini semakin biasa berlaku dalam kehidupan seharian rakyat.

Bagaimanapun, tidak adil untuk menyalahkan individu sepenuhnya kerana makanan tidak sihat dipercayai lebih mudah dan murah untuk diperoleh.

Masalah obesiti juga bukan sekadar soal rupa badan, tetapi berkait rapat dengan penyakit seperti diabetes, darah tinggi dan sakit jantung.

Apabila penyakit kronik berlaku pada usia lebih muda, ramai terpaksa hidup lebih lama dalam keadaan kurang sihat.

Dalam masa sama, kos rawatan penyakit berkaitan obesiti yang tinggi memberi tekanan besar kepada sistem kesihatan negara.

Berdasarkan laporan media, Malaysia berdepan krisis kesihatan serius apabila kos rawatan obesiti dan penyakit berkaitan diet dianggarkan mencecah kira-kira RM70 bilion setahun, iaitu hampir dua kali ganda daripada keseluruhan belanjawan tahunan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi 2026 berjumlah RM46.5 bilion.

Lebih membimbangkan, negara turut berdepan masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak walaupun kadar obesiti dewasa terus meningkat.

Artikel Berkaitan:

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan Parlimen, Suhaizan Kaiat, menyatakan isu obesiti perlu ditangani secara menyeluruh dan bukan hanya bergantung kepada rawatan di hospital.

Beliau menegaskan usaha pencegahan perlu diperkukuh termasuk mendidik rakyat serta mewujudkan persekitaran yang menyokong gaya hidup sihat.

Langkah seperti cukai minuman bergula dan kempen kesedaran dilihat membantu, namun usaha lebih besar masih diperlukan melibatkan banyak pihak.

Peningkatan obesiti wajar menjadi peringatan awal bahawa tanpa tindakan lebih serius sekarang, negara mungkin berdepan masalah kesihatan yang lebih besar pada masa depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!