Pokok bandar mengundang bahaya senyap

Pokok di bandar adalah struktur hidup yang mempunyai risiko fizikal jika tidak diselenggara dengan baik. Gambar hiasan
Pokok di bandar adalah struktur hidup yang mempunyai risiko fizikal jika tidak diselenggara dengan baik. Gambar hiasan
A
A
A

INSIDEN pokok tumbang bukan lagi berita terpencil di negara ini. Ia semakin kerap berlaku khususnya di kawasan bandar yang padat dengan pembangunan.

Kejadian pokok tumbang yang menghempap kenderaan dinaiki dua pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam sehingga menyebabkan kecederaan serius baru-baru ini membuka kembali persoalan lama berkaitan tahap keselamatan pokok bandar dan kecekapan pemantauan pihak berkuasa tempatan.

Segar dalam ingatan penulis pada 10 Mei 2024, seorang lelaki berusia 47 tahun maut selepas pokok besar tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. Pokok besar berusia 50 tahun itu menghempap 17 kenderaan dan kemudahan awam ketika hujan lebat.

Ia disusuli beberapa batang lagi pokok tumbang di Jalan Pinang pada 13 Mei 2024. Biarpun tiada individu yang tercedera, kenderaan berupa kereta dan lima motosikal telah rosak.

Kejadian ini mengejutkan kerana ia berlaku di kawasan pusat bandar mempunyai sistem pemantauan dan penyelenggaraan landskap paling ketat oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pokok di bandar adalah struktur hidup yang mempunyai risiko fizikal jika tidak diselenggara dengan baik.

Usia pokok, akar yang reput, tanah mendap, perubahan iklim dan ribut luar jangka boleh meningkatkan risiko tumbang. Namun, ia boleh dikurangkan dengan pemeriksaan berkala menggunakan kepakaran arborist bertauliah. Bukan sekadar pemerhatian visual biasa oleh kontraktor penyelenggaraan!

Lapor portal berita tempatan, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengaktifkan audit kecemasan bagi memeriksa pokok matang di kawasan pentadbiran mereka. pokok yang dikenal pasti berisiko tinggi akan diambil tindakan serta-merta termasuk pemangkasan pengurangan kanopi atau penebangan pencegahan.

Difahamkan, kerja-kerja penyelenggaraan berkala sudah dilaksanakan sepanjang 2025 di lokasi kejadian yang merangkumi pemangkasan kanopi, pengurangan beban dahan, penebangan pokok mati serta pemantauan visual berkala terhadap pokok matang.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, risikonya dinilai berdasarkan pemerhatian fizikal seperti reput atau rekahan batang, keadaan kanopi tidak seimbang, serangan penyakit atau perosak, kecondongan abnormal dan keadaan tanah di pangkal pokok.

Trend cuaca ekstrem susulan perubahan iklim di luar jangkaan juga perlu diambil kira. Risiko pokok tumbang masih bertambah jika pendekatan pengurusan kekal pada tahap lama. Tanpa pelan mitigasi jangka panjang, tragedi demi tragedi mungkin hanya menunggu masa.

Nyawa yang terkorban sebelum ini menjadi peringatan bahawa isu ini bukan perkara kecil. Tragedi melibatkan dua orang pensyarah pada 16 Februari lalu cukup menyedarkan bahaya masih wujud.

Selain PBT, orang awam juga boleh memainkan peranan menentukan tahap keselamatan pokok secara teknikal. Biarpun bukan pakar, kepekaan mereka boleh menjadi 'sistem amaran awal' yang membantu mengelakkan kejadian tidak diingini.

Dalam banyak kes pokok tumbang, tanda-tanda sebenarnya sudah lama wujud. Antaranya mengelakkan memarkir kenderaan atau berteduh di bawah pokok yang nampak berisiko iaitu yang mana rantingnya yang terjatuh atau telah mati menunjukkan bahawa pokok tersebut kekurangan nutrien.

Selain itu, seboleh-bolehnya elakkan berada berdekatan pokok yang terletak berhampiran air kerana berisiko mengalami masalah air bertakung pada akar dan seterusnya menyebabkan ia menjadi reput.

Peka jika ada kulat seperti cendawan yang tumbuh pada pangkal atau akar pokok. Ia petanda akarnya sudah mereput. Laporkan jika nampak pokok condong, reput atau berbahaya dan ambil gambar sebagai bukti untuk memudahkan tindakan.

Pemandu juga perlu berhati-hati ketika memandu dalam cuaca buruk, khususnya di kawasan berpokok besar. Tangguhkan dahulu untuk keluar ketika ribut dan hujan lebat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Dalam soal keselamatan awam, pencegahan sentiasa lebih murah daripada merawat. Jangan tunggu sehingga ada korban baharu untuk bertindak. Satu nyawa yang hilang terlalu mahal nilainya!

*Azma Mohd Lazim ialah ialah wartawan SinarPlus

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!