'Dada rasa pedih setiap kali tarik nafas'

SHAH ALAM - “Ketika itu memang rasa macam dah nazak, dada rasa pedih ibarat ditusuk setiap kali tarik nafas. Apabila ke hospital, doktor sahkan paru-paru penuh asap dan air.”
Demikian luahan seorang peniaga, Noor Fatihah Mohd Rosli, 25, yang berkongsi pengalaman perit menjadi mangsa perokok pasif selepas kerap terdedah kepada asap rokok dan rokok elektronik atau vape daripada orang sekelilingnya.
Noor Fatihah berkata, dia menghidap asma sejak kecil dan mempunyai sejarah lelah, namun keadaan menjadi semakin teruk sejak mula terhidu asap daripada mereka yang menghisap rokok serta vape.

Bercerita pengalaman tersebut, pada 2017 keadaan dirinya semakin parah apabila perlu ditebuk pada bahagian kiri badan, selain turut ditahan di hospital selama 18 hari.
“Mula-mula ingat sesak nafas biasa sebab asma tapi makin nak tarik nafas makin sakit. Dada jadi macam makin sempit dan tak boleh nak bernafas.
“Disebabkan itu terus ke bahagian kecemasan dan doktor sahkan paru-paru sebelah kiri memang penuh asap.
“Memang ketika itu sangat seksa dengan sakit kena tebuk dan tak boleh bangun sebab wayar berselirat di badan,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Tidak cukup dengan itu, menurut Noor Fatihah, dia sekali lagi ditahan di wad pada 2019 akibat perkara sama dan ditebuk di bahagian kanan badan.
Jelasnya, doktor mengesahkan paru-paru sebelah kanan penuh dengan air hingga memerlukan dirinya ditebuk buat kali kedua.
“Doktor bius sebelum tebuk bahagian paru-paru tetapi tetap rasa sakit yang teramat sangat. Ketika itu hanya ALLAH sahaja yang tahu.
“Rasa nak marah juga sebab tak sangka saya jadi mangsa walaupun saya bukan perokok atau hisap vape,” katanya lagi.
Susulan itu, Noor Fatihah turut menyeru orang ramai terutama pengguna vape atau perokok tegar agar turut bertanggungjawab terhadap kesihatan orang lain, lebih-lebih lagi melibatkan ahli keluarga.
Katanya, golongan berkenaan seharusnya lebih peka untuk tidak merokok di kawasan awam seperti kedai makan kerana boleh mengundang bahaya kepada orang ramai termasuk kanak-kanak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

