Pahang digesa haramkan vape

KUANTAN - Kerajaan Pahang digesa mengharamkan penjualan dan penggunaan rokok elektronik atau vape di negeri ini bagi membendung gejala yang kian membimbangkan serta boleh mengancam masa depan generasi muda.
Ketua Dewan Pemuda Pas Pahang, Mohd Zarimi Abu Zih berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), khususnya yang memegang portfolio kesihatan dan pendidikan, disarankan mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani isu berkenaan.
"Antaranya, menggubal dan meluluskan undang-undang negeri yang mengharamkan penjualan serta penggunaan vape di Pahang, selaras dengan titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
"Pahang juga perlu mencontohi langkah negeri-negeri seperti Johor, Kelantan, Terengganu, dan Perlis yang telah melaksanakan larangan terhadap vape sebagai langkah pencegahan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambahnya, kerajaan Pahang perlu memperkasa penguatkuasaan dan pemantauan di peringkat daerah serta komuniti, termasuk mengekang penjualan vape kepada golongan bawah umur.
Selain itu, Mohd Zarimi turut mencadangkan supaya kerajaan negeri menggerakkan kempen kesedaran secara menyeluruh melalui kerjasama jabatan kerajaan, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masjid, serta komuniti setempat bagi memberi penerangan tentang bahaya penggunaan vape.
"Kita percaya bahawa langkah ini bukan sahaja sejajar dengan prinsip Maqasid Syariah dalam memelihara nyawa dan akhlak, malah merupakan pelaburan jangka panjang untuk kesejahteraan dan keselamatan negeri.
"Malah, kita juga akan terus memainkan peranan sebagai rakan strategik dan pendesak yang konstruktif kepada kerajaan dalam usaha memelihara masa depan anak muda dan memartabatkan negeri Pahang sebagai negeri yang bersih daripada gejala ketagihan moden," katanya.
Sebelum itu, Mohd Zarimi menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap trend penggunaan vape yang semakin berleluasa di negeri ini.
Jelasnya, isu itu kini menjadi satu ancaman serius terhadap kesihatan awam, kesejahteraan sosial, dan masa depan generasi muda Pahang.
Tambahnya, lebih membimbangkan, penyebaran produk vape yang mengandungi nikotin berlaku secara terbuka, termasuk di platform digital dan kedai fizikal, tanpa kawalan yang mencukupi.
Menurutnya, penggunaan vape dalam kalangan kanak-kanak sekolah semakin membimbangkan, sekali gus menunjukkan kelemahan dalam aspek penguatkuasaan dan kawal selia di peringkat negeri.
"Kita menjunjung titah Sultan Pahang yang menzahirkan keprihatinan terhadap isu vape dan menyeru agar langkah proaktif diambil demi membendung penyebarannya.
"Titah baginda adalah isyarat jelas kepada semua pihak, khususnya kerajaan negeri, untuk bertindak segera demi melindungi rakyat," katanya.
Pada 18 November lalu, Al-Sultan Abdullah menyarankan agar penggunaan vape diharamkan secara total.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!