Kedah tidak perbaharui lesen perniagaan vape

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah memutuskan untuk tidak memperbaharui lesen perniagaan vape yang tamat pada tahun ini sebagai langkah drastik membanteras penularan dadah sintetik yang semakin membimbangkan.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keputusan itu diambil kerana dadah sintetik melalui vape kini menjadi ancaman utama apabila bahan terlarang itu diedarkan secara meluas termasuk kalangan pelajar sekolah.
Menurutnya, isu tersebut antara dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah peringkat negeri yang dipengerusikan beliau pada Selasa.
“Vape kini menjadi saluran baharu untuk salurkan dadah. Satu titik cecair vape ini boleh dicampur bernilai sekitar RM10, boleh dikongsi sehingga 10 orang.
"Ia jauh lebih berbahaya berbanding kaedah lama seperti rokok berbalut ganja atau suntikan.
“Lebih membimbangkan, dadah dalam bentuk cecair ini dijual secara dalam talian dan sukar dikesan.
“Disebabkan itu, kerajaan negeri memutuskan untuk tidak menyambung mana-mana lesen vape yang tamat tahun ini dan tidak akan keluarkan lesen baharu mulai tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.
Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri memandang serius gejala dadah yang disifatkan sebagai ‘kudis dan barah’ dalam masyarakat dan perlu dibanteras secara menyeluruh.
“Penjualan vape dan bahan berkaitan juga akan diharamkan sepenuhnya di semua premis termasuk kedai runcit bermula tahun depan.
“Kita mahu buka lembaran baharu bermula 2026. Tidak guna kita bangga dengan pencapaian ekonomi sedangkan masyarakat rosak. Lebih baik kita elakkan perkara yang membawa mudarat besar walaupun keuntungannya kecil,” katanya.
Tambah beliau, kadar penyalahgunaan dadah di negeri ini berada pada tahap membimbangkan dengan lebih 12,000 individu direkodkan sebagai penagih daripada keseluruhan 2.21 juta penduduk negeri ini.
“Daerah Pendang merekodkan angka tertinggi, sebahagiannya disumbangkan oleh kewujudan pusat rawatan swasta, namun ia tetap menunjukkan tahap seriusnya masalah dadah di negeri ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menegur sikap segelintir guru dan pentadbir sekolah yang didakwa cuba menutup masalah penyalahgunaan dadah kalangan pelajar semata-mata untuk menjaga imej institusi.
“Masalah ini jangan disorok. Kalau kita tidak buat saringan air kencing kerana takut tercalar nama, bagaimana hendak rawat?
"Lebih baik tahu awal dan rawat daripada biar sampai tidak boleh diselamatkan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Muhammad Sanusi mahu semua pihak termasuk agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta masyarakat bekerjasama dalam menangani isu ini.
“Penyalahgunaan dadah bukan hanya merosakkan individu, masyarakat juga terkena tempias apabila penagih sanggup mencuri untuk dapat wang bagi membeli bahan terlarang itu.
“Kerajaan negeri akan giatkan lagi tindakan membanteras dadah di peringkat daerah melalui jawatankuasa dipengerusikan Pegawai Daerah, dibantu oleh Ketua Polis Daerah serta pegawai AADK,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!