Perlis haramkan penjualan vape berkuat kuasa 1 Ogos

Penjualan rokok elektronik atau vape diharamkan di negeri Perlis berkuat kuasa mulai 1 Ogos ini. Foto hiasan
Penjualan rokok elektronik atau vape diharamkan di negeri Perlis berkuat kuasa mulai 1 Ogos ini. Foto hiasan
A
A
A

KANGAR - Penjualan rokok elektronik atau vape diharamkan di negeri Perlis berkuat kuasa mulai 1 Ogos ini, kata Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan larangan penggunaan vape yang diputuskan haram menerusi keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis mengenai rokok elektronik itu pada 2022.

"(Sehubungan itu) mana-mana peniaga vape (di Perlis) kena bersiap sedia untuk mencari perniagaan baharu, lesen dan operasi perniagaan mereka akan dihentikan (mulai 1 Ogos nanti),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Rabu.

Mohd Shukri berkata, meskipun tidak dapat mengekang penggunaan vape sepenuhnya, namun beliau optimis dengan tindakan mengharamkan penjualan rokok elektronik itu untuk menyelamatkan anak-anak muda daripada terjebak dengan pengambilan vape.

Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan melakukan operasi pemantauan dan penguatkuasaan terhadap premis-premis perniagaan yang menjual vape itu selepas 1 Ogos nanti.

Sementara itu, Mohd Shukri berkata, Tahun Melawat Perlis 2024-2025 akan dilanjutkan sehingga tahun depan untuk seiring dengan penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026.

"Jadi kita harap kehadiran pelancong-pelancong ke negeri Perlis akan bertambah dengan adanya serentak Tahun Melawat Malaysia tersebut, mudah-mudahan ia akan memberi banyak manfaat kepada rakyat negeri Perlis.

"Saya menyeru rakyat Perlis untuk menerima kehadiran pelancong bagi meningkatkan taraf ekonomi dan menyantuni semua pelancong yang hadir ke Perlis dengan sempurna,” katanya yang turut memaklumkan kemasukan pelancong ke negeri itu tahun lepas mencapai sasaran iaitu kira-kira 3.5 juta orang.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kerajaan negeri mungkin akan menambah program pelancongan baharu yang bersesuaian selain program sedia ada Tahun Melawat Perlis 2024-2025 itu dalam usaha menarik lebih ramai pelancong datang ke Perlis pada tahun depan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!