'Vape cetus radang paru-paru lebih cepat berbanding rokok' - Pakar

SHAH ALAM - Penggunaan vape boleh menyebabkan keradangan paru-paru berlaku lebih cepat dan teruk berbanding rokok yang dikaitkan dengan risiko jangka panjang.
Pakar kesihatan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan, Mohamad Haniki Nik Mohamed berkata, kedua-duanya berbahaya tetapi kerosakan vape lebih terserlah dalam bentuk komplikasi radang spesifik bergantung kepada bahan kimia yang disedut.
“Kajian terkini menunjukkan bahawa vape dan rokok biasa mempunyai mekanisme yang berbeza. Vape tidak menghasilkan tar atau karbon monoksida seperti rokok, tetapi aerosolnya mengandungi zarah halus dan logam berat (nikel, plumbum) yang boleh menembusi pundi udara paru-paru, mencetuskan keradangan akut.
“Beberapa laporan mendapati kes keradangan paru-paru akibat vape seperti E-Cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury (EVALI) berlaku lebih cepat dan teruk dalam kalangan pengguna muda.
“Rokok pula lebih dikaitkan dengan risiko kanser jangka panjang. Pendek kata, kedua-duanya berbahaya tetapi, kerosakan vape mungkin lebih terserlah dalam bentuk komplikasi radang spesifik, bergantung pada bahan kimia yang disedut,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Dalam pada itu, Mohamad Haniki menjelaskan, antara bahan utama dalam cecair vape adalah propilena glikol (PG) dan gliserin sayuran (VG) yang digunakan untuk menghasilkan wap.
“Namun, apabila dipanaskan pada suhu tinggi, bahan ini boleh menghasilkan toksin penyebab kanser seperti bahan kimia berbahaya (formaldehid) dan sebatian beracun (akrolein) yang merengsakan tisu paru-paru.
“Selain itu, perisa sintetik atau bahan kimia berperisa (diasetil) yang digunakan dalam cecair vape boleh menyebabkan keradangan dan parut pada pundi udara paru-paru, iaitu radang pada saluran udara terkecil di paru-paru (bronkiolitis obliterans). “Bahan kimia ini juga menghasilkan radikal bebas yang merosakkan sel paru-paru, meningkatkan risiko jangkitan dan kerosakan jangka panjang,” ujarnya.
Mengulas berkenaan EVALI pula, beliau menambah, ia sering dikaitkan dengan produk vape yang mengandungi bahan yang biasa digunakan dalam produk kecantikan (vitamin E asetat) atau bahan lain seperti dadah jenis Tetrahidrokannabinol (THC) dan ganja.
Kata beliau, kes yang melibatkan EVALI di Malaysia masih kurang dilaporkan, tetapi bukan bermaksud tidak wujud.
“Walaupun jumlah kes belum setinggi di negara Barat, peningkatan penjualan vape di Malaysia menjadikan EVALI perlu dipantau lebih rapi,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

