Pijak al-Quran: Perlu tindakan sewajarnya, biar jadi pengajaran – TPM

BAGAN DATUK – Tindakan sewajarnya perlu dikenakan terhadap penuntut universiti yang didakwa memijak al-Quran dan menghina Nabi Muhammad SAW bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berulang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebagai sebuah negara yang bermasyarakat majmuk dengan pelbagai agama dan kaum, perkara yang menyentuh sensitiviti agama tidak sepatutnya berlaku.
Beliau berkata, lebih mendukacitakan apabila tindakan sedemikian didakwa dilakukan oleh seorang pelajar universiti yang dianggap sebagai golongan intelektual.
“Tidak sepatutnya pelajar universiti yang dianggap sebagai intelek melakukan perkara itu mengikut emosi, apatah lagi jika ia bertujuan untuk menghina.
“Saya harap selepas hukuman dikenakan, beliau dan mana-mana pihak tidak akan melakukannya sekali lagi. Kita tidak mahu peristiwa ini berulang dan mesti memberikan pengajaran yang sewajarnya kepada pelaku berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Mydin Mart Bagan Datuk di Hutan Melintang di sini pada Jumaat.
Mengulas sentimen di media sosial yang dilihat semakin memanas susulan insiden berkenaan, Ahmad Zahid berkata, perasaan tersinggung dalam kalangan penganut agama adalah sesuatu yang boleh difahami apabila agama dihina.
Bagaimanapun katanya, perkara sedemikian perlu ditangani secara berhemah dan diserahkan kepada pihak berkuasa tanpa dipengaruhi emosi berlebihan.
“Untuk agama kita dihormati, kita mesti menghormati agama lain.
“Agama Islam sebagai agama Persekutuan dan al-Quran sebagai kitab suci umat Islam tidak seharusnya diperlakukan sedemikian,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang penuntut sebuah universiti tempatan di Kuantan direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah dilaporkan berkata, penuntut terbabit ditahan awal pagi susulan laporan polis yang dibuat oleh bapa suspek.
Ringkasan AI
- Tindakan sewajarnya perlu dikenakan terhadap penuntut universiti yang memijak al-Quran dan menghina Nabi Muhammad SAW
- Sebagai sebuah negara bermasyarakat majmuk, sensitiviti agama harus dijaga
- Pelajar universiti adalah golongan intelektual yang tidak sepatutnya bertindak mengikut emosi untuk menghina
- Pengajaran sewajarnya harus diberikan untuk mengelakkan peristiwa ini berulang
- Agama Islam dan al-Quran sebagai kitab suci umat Islam tidak seharusnya diperlakukan sedemikian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

