Pamer harga ubat asas ketelusan, kawal inflasi sektor kesihatan – Teras

SHAH ALAM - Pelaksanaan pameran harga ubat di klinik swasta merupakan asas bagi memastikan ketelusan harga ubat dalam pasaran, mengawal inflasi sektor kesihatan dan memberi pilihan yang sewajarnya kepada pengguna.
Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, terdapat beberapa sebab utama yang menekankan kepentingan usaha mengawal harga ubatan di farmasi atau klinik termasuk meletakkan ketelusan harga untuk pengguna.
"Ia juga membantu mengelakkan perbezaan harga ubat antara premis, menggalakkan persaingan sihat, memperkasakan hak pengguna dan membantu dari segi pemantauan serta penguatkuasaan.
"Tanpa kawalan, harga ubat yang sama boleh berbeza secara drastik antara satu farmasi atau klinik dengan yang lain," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, semua jenis ubat yang dijual atau dibekalkan di farmasi komuniti serta fasiliti kesihatan swasta diwajibkan mempunyai penandaan harga bermula 1 Mei 2025.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali menyatakan bahawa langkah tersebut adalah sebahagian daripada pelaksanaan Mekanisme Ketelusan Harga Ubat (MKHU).
Mohd Azmi turut menggesa agar kerajaan mengiktiraf mekanisme pelaksanaan yang berkesan terhadap perubatan alternatif bagi menjamin fungsi serta faedahnya kepada pengguna.
Tambahnya, Teras turut menyokong tindakan kerajaan dalam pelaksanaan mekanisme harga ubat tersebut.
"Hal ini menjadi keluhan utama pengguna ketika rakyat berhadapan dengan bebanan kos sara hidup yang tinggi.
"Industri farmaseutikal moden telah lama berperanan dalam menjaga asas keperluan pengguna iaitu aspek kesihatan.
"Namun, asas ini tanpa disedari telah dimanipulasi oleh industri bagi mengaut keuntungan atas nama keperluan pengguna," ujarnya.
Menurut beliau, mekanisme ketelusan harga ubat sejak 2018 telah lama tertangguh pelaksanaannya bagi memastikan kawalan dan pengisytiharan harga ubat dibuat oleh pemborong.
"Akibat penangguhan ini, harga ubat di klinik swasta tidak telus dan terkawal berbanding di beberapa klinik komuniti.
"Isu itu telah menyumbang kepada peningkatan inflasi dalam sektor kesihatan negara bagi tiga tahun berturut-turut pada kadar 15 peratus, lebih tinggi berbanding purata global dan Asia Pasifik iaitu pada kadar 10 peratus, mengikut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

