Kenapa paparan harga ubat perlu dikecualikan, soal Armizan

Armizan
Armizan
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali menempelak Persekutuan Persatuan Doktor Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) yang mempersoalkan rasional tindakan pihaknya berhubung paparan harga ubat.

Malah beliau turut mencabar pihak berkenaan agar mengemukakan alasan yang kukuh yang membolehkan pengecualian dibuat terhadap produk ubat-ubatan.

"Bantu saya untuk jawab kepada pengguna dan rakyat kenapa perlu dikecualikan sedangkan barangan lain, harga emas dipaparkan harganya.

"Kenapa ubat tidak boleh (papar harga)?," soalnya.

Armizan berkata demikian menerusi sidang akhbar sempena Sambutan Hari Penguatkuasa KPDN yang ke-53 di sini pada Jumaat.

Terdahulu Presiden FPMPAM Dr Shanmuganathan TV Ganeson menegur sikap diam diri Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam perintah yang mewajibkan paparan harga ubat di klinik dan farmasi.

Beliau turut menyifatkan berlaku pertindihan kuasa antara kedua-dua kementerian terbabit.

Selain itu, Shanmuganathan berkara, arahan KPDN tersebut seolah-olah harga ubat pada kadar statik walaupun harga ubat tertakluk pada turun naik.

Artikel Berkaitan:

Mengenai pertindihan kuasa seperti didakwa, Armizan sekali lagi menekankan Seksyen 10 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 (Akta 723) memperuntukkan kuasa menteri menghendaki barang atau perkhidmatan ditanda dengan harga.

Tambah beliau, definisi Seksyen 2 AKHAP juga jelas menunjukkan tiada pengecualian untuk ubat- ubatan.

"Jadi bersandarkan Seksyen 2 dan 10 AKHAR, KPDN boleh melaksanakan mekanisma ketelusan harga ubat," ujar beliau.

Menurutnya, paparan harga ubat tidak menghalang klinik atau farmasi mengubah harga mengikut keadaan tertentu.

"Kalau kata harga ubat turun dan naik, saya memantau pergerakan harga ayam, ikan dan daging setiap hari.

"Sebagaimana saya sebut, KPDN bukan mahu kawal harga tetapi hanya mahu pihak klinik dan farmasi memaparkan harga ubat yang di premis mereka," katanya.

Dalam pada itu, Armizan berkata, draf perintah bagi pelaksaan mewajibkan fasiliti kesihatan swasta memaparkan harga produk mereka bermula 1 Mei ini masih berada di Jabatan Peguam Negara.

Menurutnya, segala butiran terperinci mengenai kaedah paparan harga dan hal-hal berkaitan mekanisme berkenaan akan diketahui dengan lebih lanjut selepas ia dimuktamadkan.

"KKM sendiri telah maklumkan pada 1 Mei (tarikh penguatkuasaan) sekarang draf perintah tersebut berada di AGC dan kita (masih) menanti, sebaik Jabatan Peguam Negara meluluskan perintah tersebut, di dalamnya ada butiran bagaimana kaedah paparan harga dan sebagainya.

“Namun, jangan khuatir, pada peringkat awal penguatkuasaan, bukan kita akan terus ambil tindakan. KPDN akan beri tempoh untuk mereka membuat persiapan dan tempoh advokasi sebelum penguatkuasaan akan mula diambil atau tindakan kompaun mula dilaksanakan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!