Manfaat pamer harga ubat kepada pengguna

Maklumat harga yang jelas membolehkan orang ramai memilih ubat paling berpatutan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada cadangan farmasi.
Maklumat harga yang jelas membolehkan orang ramai memilih ubat paling berpatutan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada cadangan farmasi.
A
A
A

MULAI Khamis 1 Mei ini, semua hospital dan klinik swasta di negara ini diwajibkan memaparkan harga ubat-ubatan di fasiliti mereka. Peraturan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 (Akta 723) itu bertujuan untuk meningkatkan ketelusan, melindungi pengguna serta mengelakkan ketidakadilan harga dalam sektor kesihatan swasta.

Selain hospital swasta, klinik swasta dan klinik pergigian swasta, peraturan tersebut turut melibatkan farmasi komuniti. Walaupun Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) tidak membantah inisiatif Kementerian Kesihatan (KKM), namun terdapat kebimbangan pengamal perubatan am swasta (GP) yang meminta kelonggaran dalam pelaksanaannya.

Persoalannya, adakah peraturan baharu itu benar-benar membawa kesan kepada orang ramai?

Dari sudut positif, mempamerkan harga ubat memberi kuasa kepada pengguna membuat perbandingan harga sebelum membeli. Dengan maklumat harga yang jelas, orang ramai boleh memilih ubat paling berpatutan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada cadangan farmasi. Secara tidak langsung membantu mengurangkan kos rawatan kesihatan terutama bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Amalan ini juga mendesak farmasi dan klinik bersaing secara sihat. Mereka perlu menawarkan harga lebih berpatutan untuk menarik pelanggan, sekali gus mendorong pasaran ubat yang lebih kompetitif dan adil. Malah, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali sebelum ini menjelaskan, pelaksanaannya bukan untuk mengawal harga, sebaliknya memberi pilihan sejajar hak pengguna.

Bagaimanapun, ada juga cabaran. Kemungkinan sesetengah penyedia kesihatan kecil menghadapi kesukaran menyesuaikan struktur harga mereka terutamanya bagi ubat-ubatan khas yang sukar diperoleh. Ini boleh menjejaskan perniagaan mereka jika pengguna hanya mengejar harga murah tanpa mempertimbangkan kualiti perkhidmatan.

Selain itu, tidak semua pengguna mempunyai pengetahuan tentang perbezaan antara ubat generik dan berjenama. Walaupun harga dipamerkan, pilihan mungkin tetap dipengaruhi faktor selain kos seperti reputasi atau nasihat perubatan.

Secara keseluruhannya, langkah mewajibkan mempamerkan harga ubat membawa banyak manfaat kepada orang ramai dari segi ketelusan. Namun, kejayaannya bergantung kepada kesedaran pengguna serta keupayaan industri farmasi menyesuaikan diri dengan amalan baharu ini.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!