Papar harga ubat: 21 NGO sokong usaha kerajaan

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) bersama 18 ahli gabungannya, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Third World Network (TWN) menyatakan sokongan kepada usaha kerajaan untuk wajib memaparkan harga ubat di fasiliti kesihatan swasta dan farmasi komuniti bermula 1 Mei 2025.
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) bersama 18 ahli gabungannya, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Third World Network (TWN) menyatakan sokongan kepada usaha kerajaan untuk wajib memaparkan harga ubat di fasiliti kesihatan swasta dan farmasi komuniti bermula 1 Mei 2025.
A
A
A

SHAH ALAM - Usaha kerajaan untuk mewajibkan pemaparan harga ubat di fasiliti kesihatan swasta dan farmasi komuniti bermula 1 Mei 2025 mendapat sokongan padu daripada 21 pertubuhan pengguna di Malaysia.

Sokongan itu dinyatakan melalui satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) bersama 18 ahli gabungannya, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Third World Network (TWN).

Menurut kenyataan bersama itu, langkah tersebut merupakan satu kemajuan penting dalam memperjuangkan hak pengguna dan memastikan kebertanggungjawaban harga dalam sektor penjagaan kesihatan.

“Industri perubatan dan farmaseutikal telah diberikan masa bertahun-tahun untuk mengawal selia sendiri, namun hasilnya sangat mengecewakan, ketidaktelusun harga yang meluas, kadar keuntungan ubat sehingga 900 peratus di sesetengah premis swasta, keengganan mengeluarkan bil terperinci dan inflasi perubatan yang mengatasi inflasi negara selama lebih 10 tahun.

“Berdasarkan Kajian Pemantauan Harga Ubat 2022 (KPHU), variasi harga jualan median bagi ubat yang sama di fasiliti penjagaan kesihatan swasta adalah amat ketara. Malaysia tidak boleh terus membiarkan sektor ini tidak dikawal.

“Penjagaan kesihatan terlalu penting, sensitif untuk diserahkan semata-mata kepada pasaran. Pengguna perlu diberi maklumat untuk memilih fasiliti yang menawarkan harga ubat lebih munasabah dan mengambil tindakan terhadap pihak yang melakukan pencatutan serta mengambil untung berlebihan,” kata kenyataan bersama itu pada Jumaat.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelaksanaan itu terpakai kepada semua jualan termasuk barangan, emas dan ubat-ubatan.

Dalam pada itu, menurut kenyataan bersama itu, mereka menolak sepenuhnya kenyataan dibuat oleh Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM), yang mempersoalkan penglibatan KPDN.

“FPMPAM memberi gambaran seolah-olah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan KPDN tidak memahami industri. Sebaliknya, kedua-dua kementerian ini adalah pihak paling layak mengawal selia sektor penjagaan kesihatan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Jadi, kami teguh menyokong Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) di bawah pentadbiran KPDN sebagai undang-undang yang sesuai untuk memastikan semua sektor (bukan hanya penjagaan kesihatan) patuh kepada prinsip ketelusan harga.

“Dasar ini tidak mengawal harga, tetapi hanya mewajibkan supaya semua fasiliti penjagaan kesihatan dan farmasi seperti memaparkan tanda harga yang jelas bagi ubat di kaunter, menyediakan senarai harga boleh diakses untuk ubat lain yang dijual, memberikan bil terperinci setiap kali ubat dibekalkan dan membenarkan pengguna membandingkan, menilai dan bertanya harga sebelum membeli,” ujarnya.

Jelas kenyataan itu, bermula 1 Mei nanti, pengguna disaran bertindak tegas dengan melakukan perkara seperti memeriksa label harga, meminta senarai harga lengkap, bil terperinci dan membuat aduan kepada pihak berkuasa melalui sistem e-Aduan KPDN atau Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KKM.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!