Farmasi, klinik wajib pamer harga ubat bermula esok

Semua jenis ubat yang dijual atau dibekalkan di farmasi komuniti serta fasiliti kesihatan swasta perlu mempunyai penandaan harga bermula esok.
Semua jenis ubat yang dijual atau dibekalkan di farmasi komuniti serta fasiliti kesihatan swasta perlu mempunyai penandaan harga bermula esok.
A
A
A

PUTRAJAYA – Semua jenis ubat yang dijual atau dibekalkan di farmasi komuniti serta fasiliti kesihatan swasta perlu mempunyai penandaan harga bermula esok.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah tersebut dibuat susulan pelaksanaan Mekanisme Ketelusan Harga Ubat (MKHU).

Menurut mereka, skop penandaan harga merangkumi semua ubat untuk kegunaan manusia, sama ada ubat terkawal, ubat bebas atau produk kesihatan lain.

“Ia termasuk ubat yang memerlukan preskripsi doktor, ubat tanpa preskripsi atau over-the-counter (OTC), ubat tradisional, suplemen kesihatan dan juga ubat bancuhan (extemporaneous),” kata Dzulkefly dan Armizan dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Rabu.

Ujarnya, langkah tersebut dilaksanakan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Ubat) 2025, mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).

“Harga ubat yang dipamerkan untuk jualan perlu dilabel atau ditandakan dengan harga pada produk, manakala ubat yang tidak dipamerkan atau berada di belakang kaunter perlu disenaraikan dalam paparan harga jualan yang boleh diakses pengguna.

“Senarai harga itu boleh dipaparkan dalam bentuk fizikal seperti katalog dan papan kenyataan atau secara elektronik melalui skrin digital,” tambah mereka.

Jelasnya, tempoh tiga bulan pertama pelaksanaan akan menggunakan pendekatan pendidikan secara berfasa bagi memberi ruang kepada fasiliti kesihatan untuk membuat penyesuaian dan penambahbaikan.

Artikel Berkaitan:

“Pemantauan akan dilakukan secara berperingkat dengan pendekatan advokasi dan pemeriksaan berkala oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan panduan serta kerjasama KPDN,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dan soalan lazim di portal rasmi Program Perkhidmatan Farmasi KKM di www.pharmacy.gov.my atau mengemukakan pertanyaan ke alamat emel chu@moh.gov.my.

Sebarang aduan berkaitan harga ubat boleh dibuat menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KKM di https://moh.spab.gov.my atau Portal eAduan KPDN di https://eaduan.kpdn.gov.my.

Terdahulu, mekanisme pemaparan harga ubat di semua kemudahan jagaan kesihatan dan farmasi telah dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) pada 3 Oktober 2023, dan disusuli pembentangan Memorandum Jemaah Menteri bersama KPDN pada 8 Januari lalu.

Pemaparan harga ubat yang dikuatkuasakan mulai 1 Mei ini dilaksanakan melalui perintah di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 (Akta 723).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!