Caruman sukarela RM19.2 bilion bukti rakyat ada lebihan pendapatan untuk simpanan - Amir Hamzah

PUTRAJAYA - Jumlah caruman sukarela Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mencecah RM19.2 bilion pada 2025 membuktikan rakyat mempunyai lebihan pendapatan untuk dilaburkan sebagai simpanan persaraan, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Menerusi hantaran di laman X beliau, Amir Hamzah berkata, ia diperkukuhkan lagi dengan lonjakan sebanyak 50.8 peratus dalam caruman i-Saraan sebanyak RM4.0 bilion yang menunjukkan golongan pekerja sektor gig dan tidak formal kini lebih mampu membina perlindungan kewangan hasil daripada kerancakan aktiviti ekonomi domestik.
Merujuk kepada pengumuman dividen KWSP hari ini beliau berkata, biarpun berdepan dengan cabaran persekitaran ekonomi yang tidak menentu, limpahan kemakmuran daripada pertumbuhan ekonomi dapat dilihat dalam jumlah caruman yang semakin meningkat, kenaikan gaji yang stabil, pendaftaran ahli dan majikan aktif.
"Keyakinan rakyat untuk mencarum melebihi kadar berkanun melalui i-Topup (naik 26 peratus), juga menunjukkan kepercayaan yang tinggi terhadap kestabilan institusi kewangan negara,” katanya.
KWSP hari ini mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.15 peratus bagi 2025 untuk akaun simpanan konvensional dan shariah, dengan jumlah pembayaran RM79.6 bilion.
Bagi tahun berakhir 31 Disember 2025, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan boleh agih sebanyak RM82.7 bilion, meningkat 9.5 peratus daripada RM75.5 bilion pada 2024.
Menurut Amir Hamzah lagi, pencapaian itu turut mencerminkan komitmen kerajaan dalam menstruktur semula ekonomi bagi menjamin kemampanan kemakmuran negara dan meningkatkan perlindungan sosial rakyat.
"Kerajaan Madani akan terus memastikan kemakmuran negara bersifat inklusif, mampan, dan memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat Malaysia,” katanya. - Bernama
Ringkasan AI
- Caruman sukarela KWSP mencecah RM19.2 bilion pada 2025 menunjukkan lebihan pendapatan rakyat
- Caruman i-Saraan meningkat 50.8 peratus kepada RM4.0 bilion, menunjukkan golongan pekerja sektor gig dan tidak formal lebih mampu
- Walaupun dengan cabaran ekonomi, peningkatan dalam caruman, gaji stabil, dan pendaftaran ahli baru diperhatikan
- Keyakinan rakyat terhadap kestabilan kewangan negara dilihat melalui peningkatan caruman i-Topup sebanyak 26 peratus
- KWSP umumkan kadar dividen 6.15 peratus bagi tahun 2025, mencerminkan kemakmuran dan komitmen kerajaan ke arah ekonomi mampan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
