MACFEA gesa GP jawab isu ketelusan harga ubat

Semua jenis ubat yang dijual atau dibekalkan di farmasi komuniti serta fasiliti kesihatan swasta perlu mempunyai penandaan harga bermula 1 Mei 2025. Gambar hiasan (Gambar kecil: Nuradli Ridzwan Shah)
Semua jenis ubat yang dijual atau dibekalkan di farmasi komuniti serta fasiliti kesihatan swasta perlu mempunyai penandaan harga bermula 1 Mei 2025. Gambar hiasan (Gambar kecil: Nuradli Ridzwan Shah)
A
A
A

SHAH ALAM - Pengamal perubatan am (GP) disarankan tampil secara kolektif dengan satu kertas pendirian berasaskan data, kajian, dan amalan terbaik antarabangsa bagi menjawab isu ketelusan harga ubat.

Exco Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga (MACFEA), Professor Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, langkah tersebut bertujuan memperkukuhkan kedudukan organisasi itu dalam wacana dasar kesihatan negara serta meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap sistem perubatan swasta di Malaysia.

Menurutnya, sebagai barisan hadapan dalam sistem penjagaan kesihatan negara, GP seharusnya menangani isu tersebut dengan pendekatan berdasarkan fakta, kajian, dan penjelasan saintifik.

"Sebarang kebimbangan mengenai implikasi pendedahan harga ubat, seperti kesan kepada model perniagaan klinik swasta, variasi kos logistik dan perolehan serta perbezaan formulasi ubat, harus disampaikan secara telus, bertanggungjawab dan mampu meyakinkan pihak kementerian serta rakyat Malaysia.

"Ketelusan dalam kos kesihatan adalah satu aspek penting bagi memastikan keadilan kepada pengguna," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, semua jenis ubat yang dijual atau dibekalkan di farmasi komuniti serta fasiliti kesihatan swasta diwajibkan mempunyai penandaan harga bermula 1 Mei 2025.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali menyatakan bahawa langkah tersebut adalah sebahagian daripada pelaksanaan Mekanisme Ketelusan Harga Ubat (MKHU).

Dalam pada itu, Nuradli Ridzwan Shah berkata, reaksi GP yang gagal memberikan justifikasi kukuh dan bersifat ilmiah dalam isu harga ubat-ubatan adalah amat mengecewakan serta tidak mencerminkan tahap profesionalisme yang sepatutnya dimiliki oleh golongan berkelayakan tinggi seperti mereka.

Beliau berkata, MACFEA turut menyokong sepenuhnya usaha kerajaan untuk meningkatkan ketelusan harga dalam sektor perubatan swasta, selaras dengan prinsip kebertanggungjawaban, integriti, dan keadilan sosial.

"Langkah ke arah memaparkan harga ubat bukan sahaja membantu pengguna membuat pilihan yang lebih bermaklumat, tetapi juga mengurangkan risiko manipulasi harga dan ketidaktelusan dalam kos rawatan.

"Kami percaya GP profesional mampu tampil dengan hujah yang bernas dan beretika bukan hanya untuk mempertahankan kepentingan komuniti perubatan swasta, tetapi yang lebih penting demi kesejahteraan serta hak pengguna seluruh negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!