Kerajaan promosi Tasik Kenyir sempena Tahun Melawat Malaysia 2026

Rubiah
Rubiah
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan mempromosikan Tasik Kenyir sebagai destinasi kunjungan sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang berkata, usaha itu bagi menarik lebih ramai pengunjung ke lokasi berkenaan susulan terdapat trend penurunan jumlah pelancong sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, Tasik Kenyir kekal di bawah pentadbiran kerajaan negeri, namun aspek pengurusan, program dan aktiviti pelancongan di beberapa kawasan di tasik tersebut turut melibatkan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

Rubiah (empat dari kanan) menyerahkan bantuan geran kepada usahawan sempena Program Hari Bertemu Pelangan dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri KKDW Terengganu di Villapadu, Kampung Baru Serada, Kuala Terengganu pada Isnin.
Rubiah (empat dari kanan) menyerahkan bantuan geran kepada usahawan sempena Program Hari Bertemu Pelangan dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri KKDW Terengganu di Villapadu, Kampung Baru Serada, Kuala Terengganu pada Isnin.

"Kita menyedari jumlah kehadiran pelancong menurun sejak pandemik Covid-19, namun saya dimaklumkan oleh Pengurus Besar Ketengah bahawa jumlah tersebut kini menunjukkan peningkatan berbanding sebelumnya.

"Program serta aktiviti pelancongan juga telah diselaraskan bersama kerajaan negeri untuk memastikan Tasik Kenyir kekal menjadi fokus dan tumpuan pelancong," katanya ketika ditemui pada Program Hari Bertemu Pelanggan dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri KKDW Terengganu di Villapadu, Kampung Baru Serada di sini pada Isnin.

Jelas beliau, Ketengah terlibat secara menyeluruh dalam beberapa bahagian yang menjadi tarikan pelancongan, selain turut bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri bagi memastikan Tasik Kenyir kekal relevan sebagai destinasi pilihan pengunjung.

Jelas beliau, Ketengah turut menjalinkan kerjasama dengan beberapa pihak termasuk Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Fair dalam mempromosikan Tasik Kenyir sebagai salah satu destinasi wajib dikunjungi menjelang TMM 2026.

"Kita juga telah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama kerajaan negeri bagi mempergiat usaha menarik lebih ramai pengunjung ke Tasik Kenyir pada masa akan datang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Rubiah (dua dari kanan) ketika melawat gerai sempena Program Hari Bertemu Pelangan dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri KKDW Terengganu di Villapadu, Kampung Baru Serada, Kuala Terengganu pada Isnin.
Rubiah (dua dari kanan) ketika melawat gerai sempena Program Hari Bertemu Pelangan dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri KKDW Terengganu di Villapadu, Kampung Baru Serada, Kuala Terengganu pada Isnin.

Sebelum ini, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) menjelaskan jumlah pelancong ke Tasik Kenyir menunjukkan penurunan sejak dua hingga tiga tahun lalu.

Menurutnya, statistik menunjukkan trend penurunan jumlah pelancong sejak pandemik Covid melanda pada 2020, yang menyaksikan sekatan perjalanan dan penutupan sementara destinasi pelancongan memberi kesan besar kepada Tasik Kenyir.

Jumlah pelancong yang pernah mencecah 775,979 pada tahun 2018 mula menurun kepada 607,398 pada 2019 dan jatuh mendadak kepada hanya 208,097 pada tahun 2020.

Selain faktor pandemik, kekurangan promosi berterusan serta pembangunan infrastruktur baharu yang terhad turut menjadi antara punca Tasik Kenyir kurang mendapat perhatian berbanding destinasi lain.

Namun, momentum kebangkitan itu dijangka diteruskan apabila seramai 71,735 pengunjung telah direkodkan berkunjung ke Tasik Kenyir sehingga Februari tahun ini.

Katanya, usaha promosi dan penawaran produk pelancongan baharu yang lebih menarik dilihat mampu mengukuhkan lagi kedudukan Tasik Kenyir sebagai destinasi wajib singgah di Terengganu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!