Projek solar terapung Tasik Kenyir dijangka jana hasil RM40 juta setahun

KUALA TERENGGANU - Projek solar terapung terbesar di Malaysia yang dibangunkan di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu dijangka mampu menyumbang hasil mencecah RM40 juta setahun kepada kerajaan negeri.
Exco Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, ia mampu dicapai sebaik Fasa 1 Blok 1 berkapasiti 640 megawatt (MW) yang merupakan sebahagian daripada kapasiti keseluruhan sehingga 2,500MW mula beroperasi.
Menurutnya, tender bagi kerja-kerja Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) untuk fasa berkenaan melibatkan nilai lebih RM2 bilion dan telah ditutup pada 15 Mac lalu.
"Projek ini dijalankan mengikut garis masa yang ditetapkan dan bakal membuka lebih 150 hingga 200 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, selain merangsang pertumbuhan ekonomi negeri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Khazan Che Mat (Pas - Seberang Takir) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, projek berasaskan tenaga hijau itu bukan sahaja menyumbang kepada hasil negeri, malah berpotensi menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui termasuk hidrogen, mobiliti hijau serta pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).
Katanya, perkembangan positif tersebut turut membuka minat syarikat multi-nasional dari dalam dan luar negara termasuk Acwa Power Company dari Arab Saudi, Masdar (Abu Dhabi), Sungrow Power dan Envision Group dari China, Shizen International Inc dari Jepun serta Gentari dan MRCB.
"Selain menyokong inisiatif pengurangan jejak karbon, projek ini juga bakal memberi faedah jangka panjang kepada kerajaan negeri melalui insentif dan dana kelestarian termasuk pendapatan dari Kredit Karbon.
"Terengganu Inc dijangka memperoleh dividen berjumlah RM670 juta sepanjang tempoh operasi 25 tahun projek ini," katanya lagi.
Beliau turut memaklumkan Lembaga Air Terengganu (LAUT) akan menerima bayaran caj dianggarkan sebanyak RM37 juta setahun bagi projek fasa pertama, manakala jika keseluruhan kapasiti 2,000MW dilaksanakan, anggaran bayaran kepada LAUT dijangka melebihi RM100 juta setahun.
Selain itu, kerajaan negeri juga bakal menerima bayaran permit berjumlah RM1.2 juta setahun kepada Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu bagi penggunaan tanah laluan kabel dari ladang solar terapung ke pencawang masuk utama Tenaga Nasional Berhad (TNB).
"Pendapatan lain turut disumbangkan melalui cukai tanah, permit dan lesen melibatkan Majlis Daerah Hulu Terengganu sebanyak RM750,000 setahun, Pejabat Tanah dan Galian (RM200,000 setahun) dan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri (RM300,000 setahun)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
