Peruntukan RM16 juta baik pulih semula Pulau Petang

Datuk Seri Ahmad Said
Datuk Seri Ahmad Said
A
A
A

HULU TERENGGANU - Kerajaan menerusi Kementerian Ekonomi memperuntukkan sebanyak RM16 juta bagi membaik pulih semula Pulau Petang di Tasik Kenyir di sini yang terbiar sejak tahun 2021.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Seri Ahmad Said berkata, peruntukan tersebut bagi pembaikan semula kerosakan, menaik taraf serta penyelengaraan kemudahan di kawasan tersebut bagi memastikan kawasan tersebut kembali menjadi tumpuan pelancong.

"Peruntukan diterima pada akhir tahun lepas itu bagi membaik pulih Pulau Petang termasuk jambatan ke santuari kelah yang sudah rosak sejak beberapa tahun lalu, namun tidak dibaiki lagi.

"Sekarang ini dalam proses pelantikan kontraktor dan kerja pembaikan akan bermula pada perengahan tahun ini.

"Proses membaik pulih kawasan tersebut mengambil masa selama lapan hingga 12 bulan," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Pulau Petang di Tasik Kenyir di sini pada Ahad.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Datuk Seri Ahmad Said (dua dari kanan) meninjau Resort Pulau Petang yang rosak dan terbengkalai semasa melakukan lawatan pada Ahad. Foto Bernama
Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Datuk Seri Ahmad Said (dua dari kanan) meninjau Resort Pulau Petang yang rosak dan terbengkalai semasa melakukan lawatan pada Ahad. Foto Bernama

Menurutnya, Pulau Petang itu sudah terbiar sejak beliau berhenti menjadi Menteri Besar di mana melibatkan lebih 80 peratus kerosakan.

"Jadi dengan adanya peruntukan ini dapat menbaik pulih semula Pulau Petang merangkumi resort, fasiliti, kemudahan lain dan sebagainya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ahmad Said berkata, pihaknya turut merancang untuk menanam pokok buah-buahan termasuk durian Musang King di kawasan tersebut.

"Pengunjung boleh dapat datang makan buah di pulau tersebut sebab itu saya rancang satu pulau ada tanaman buah-buahan diusahakan di kawasan tersebut," ujarnya.

Ketika ditanya mengenai kerjasama Ketengah dengan kerajaan negeri, Ahmad Said menyatakan kerajaan negeri perlu membangunkan kawasan pelancongan di Tasik Kenyir sekiranya mempunyai peruntukan.

Keadaan Resort Pulau Petang yang rosak dan terbengkalai semasa melakukan lawatan pada Ahad.
Keadaan Resort Pulau Petang yang rosak dan terbengkalai semasa melakukan lawatan pada Ahad.

"Sebelum ini kita (kerajaan Barisan Nasional) bangunkan projek terdahulu (Taman Rama-Rama) namun tidak diuruskan. Kerajaan negeri mempunyai kuasa penuh walaupun kawasan Ketengah tetapi tuan tanah kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri boleh buat sebagai contoh santuari kelah yang saya buat. Apa salah kerajaan negeri bangunkan kalau ada peruntukan.

"Apabila benda siap...jadi terbiar dan habis rosak. Zaman dialah (kerajaan Pas) ni.... zaman dia tulah tak cakna," dakwanya.

Ahmad Said berkata, pihaknya akan terus memberikan komitmen dalam agenda pelancongan di Tasik Kenyir selaras dengan pelan pembangunan telah disediakan atau diwartakan sama ada di peringkat negeri atau persekutuan.

"Tasik Kenyir merekodkan antara jumlah kedatangan pelancong tertinggi di negeri ini. Jadi usaha dilakukan ini bagi memastikan setiap pembangunan yang dijalankan adalah secara komprehensif dan mampan sekali gus menjadikan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan utama di Terengganu," jelasnya.

Tasik Kenyir di Hulu Terengganu dengan keluasan seluas 209,199 hektar telah diwartakan sebahagian dari wilayah Ketengah pada 12 Jun 1993.

Ketengah turut membelanjakan lebih RM2 juta setahun bagi melaksanakan kerja-kerja penyelengaraan dan kebersihan di kawasan tumpuan utama iaitu Pengkalan Utama, Pengkalan Gawi dan kawasan tarikan di Tasik Kenyir.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!