Masjid Kampung Jak, masjid tertua di Ajil perlu baik pulih

HULU TERENGGANU – Masjid Kampung Jak yang merupakan antara masjid tertua di Ajil, kini semakin usang dan memerlukan kerja baik pulih bagi memastikan keselesaan jemaah.
Setiausaha Masjid Kampung Jak, Shazrul Anuar Harun berkata, masjid berusia 60 tahun itu telah mengalami banyak kerosakan akibat faktor usia dan perlu dibaik pulih segera supaya terus berfungsi sebagai pusat ibadah dan aktiviti masyarakat.
“Masjid ini telah memberi manfaat kepada penduduk sejak tahun 1965, tetapi kini keadaannya semakin uzur.
“Antara keperluan mendesak ialah menyiapkan menara azan, termasuk pemasangan kubah, papan tanda Islamik, sistem pembesar suara serta cat baharu,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Menurutnya, selain menara azan, beberapa bahagian lain juga perlu diberi perhatian seperti ruang solat seluas 325 meter persegi, pagar utama masjid, bilik air untuk jemaah lelaki dan wanita, mihrab dalaman serta sistem pendawaian elektrik.
Katanya, jumlah keseluruhan dana yang diperlukan untuk projek baik pulih ini adalah RM70,000, termasuk RM25,000 bagi menyiapkan menara azan.
“Kami berharap orang ramai dapat bersama-sama membantu menghulurkan sumbangan agar kerja baik pulih dapat diselesaikan secepat mungkin.
“Masjid ini bukan sahaja tempat solat, tetapi juga pusat ilmu dan kebajikan masyarakat,” katanya lagi.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 113032046225 atas nama Masjid Kampung Jak.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Shazrul Anuar di talian 013-9616949 atau Pengerusi Masjid Kampung Jak, Rulasmawi Abd Wahab, di talian 013-9276607.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

