Ihya Ramadan Masjid Sri Sendayan meriah, jemaah pernah cecah 7,000 sehari

Suasana di Masjid Sri Sendayan yang dipenuhi orang ramai untuk berbuka puasa.
Suasana di Masjid Sri Sendayan yang dipenuhi orang ramai untuk berbuka puasa.
A
A
A

SEREMBAN - Masjid Sri Sendayan yang tersenarai antara 10 masjid tercantik di Malaysia terus menjadi tumpuan umat Islam mengimarahkan masjid di bulan Ramadan.

Imamnya, Muhammad Alifuddin Jamal berkata, hampir 1,000 pengunjung hadir untuk berbuka puasa serta bertarawih pada hari biasa dan jumlah itu meningkat hingga 3,000 orang pada hujung minggu.

Jemaah melimpah hingga luar masjid pada malam pertama Ramadan. - Foto: FB Masjid Sri Sendayan.
Jemaah melimpah hingga luar masjid pada malam pertama Ramadan. - Foto: FB Masjid Sri Sendayan.

Menurutnya, pada malam pertama Ramadan, jemaah melimpah hingga ke luar masjid seperti solat hari raya, dengan kehadiran melebihi 7,000 orang.

"Sambutan pada tahun ini amat menggalakkan, mungkin disebabkan tular Masjid Sri Sendayan antara 10 masjid tercantik, menjadi daya tarikan untuk orang datang ke sini.

"Kalau bukan bulan Ramadan pun, saya lihat waktu Subuh ramai anak muda, ada yang datang berkonvoi motosikal singgah berjemaah. Saya anggap ini sesuatu yang baik dan positif," katanya kepada Sinar Harian.

Sebanyak 10 khemah disediakan oleh pihak masjid untuk program dan iftar sepanjang Ramadan.
Sebanyak 10 khemah disediakan oleh pihak masjid untuk program dan iftar sepanjang Ramadan.

Beliau berkata, sebanyak 10 khemah dipasang di masjid itu bagi kegunaan program Ramadan termasuk iftar.

"Khemah ini sentiasa penuh dan begitu juga dalam bangunan masjid selain persekitaran serta kaki lima masjid turut dipenuhi orang ramai ketika waktu berbuka puasa.

Artikel Berkaitan:

"Kebanyakan yang datang terdiri orang luar, ada pelajar, anak muda dan juga yang telah berkeluarga. Kemeriahan ini sangat dirasai terutama ketika hujung minggu," katanya.

Suasana berbuka puasa di Masjid Sri Sendayan.Foto: FB Masjid Sri Sendayan.
Suasana berbuka puasa di Masjid Sri Sendayan.Foto: FB Masjid Sri Sendayan.

Ujar beliau, pihak masjid menyediakan 400 pek makanan untuk berbuka puasa pada setiap hari yang diberikan kepada pengunjung terawal.

"Jumlah itu meningkat berbanding 300 pek tahun lepas. Ada juga terima sumbangan luar untuk infak pek makanan tapi ia masih tidak cukup menampung semua pengunjung.

"Bagaimanapun kebanyakan jemaah biasanya ada bawa makanan sendiri jadi tiada masalah bagi mereka yang tidak mendapat makanan untuk berbuka puasa," katanya.

Ujarnya, pihak masjid sentiasa mengalu-alukan dan terbuka menerima sumbangan orang ramai mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berminat untuk menyumbang pek makanan iftar, sama ada secara 'walk-in' atau menghubungi talian 06-7759119.

Solat tarawih di Masjid Sri Sendayan.- Foto: FB Masjid Sri Sendayan.
Solat tarawih di Masjid Sri Sendayan.- Foto: FB Masjid Sri Sendayan.

Dalam pada itu katanya, bagi program Ihya Ramadan, masjid meneruskan daurah subuh pada hujung minggu serta tadarus al-Quran, selain qiamullail pada 10 malam terakhir mulai Jumaat ini jam 4 pagi.

Beliau menjemput masyarakat untuk bersama-sama mengimarahkan Ihya Ramadan di masjid berkenaan.

"Masjid ini sudah terkenal dengan tarikan orang ramai berkunjung melihat seni landskapnya dan saya berharap dapat diserikan juga dengan jemaah bersama-sama mengimarahkan program di masjid, itu yang lebih penting," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!