Ibu tunggal buntu cari dana baik pulih rumah rosak dibadai ribut

SABAK BERNAM - Seorang ibu tunggal di Taman Ria Sekinchan di sini, buntu mencari dana bagi membaik pulih rumahnya yang rosak teruk akibat dibadai ribut pada Selasa lalu.
Latifah Yusof, 60, mengakui pendapatannya sebagai pengasuh dan pembuat kek tidak mencukupi untuk mengumpul wang sebanyak RM21,000 bagi membaiki bumbung rumah yang diterbangkan angin serta dinding dan siling yang retak.
"Saya tinggal bersendirian sejak suami meninggal dunia 15 tahun lalu, manakala tiga anak saya pula semuanya bekerja di luar.
"Saya tak mampu keluarkan duit sebanyak ini, malah buntu untuk membayar kos baik pulih rumah," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Isnin.

Latifah memberitahu, buat masa ini, dia berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Seri Sekinchan.
Katanya, kedatangan Syawal kali ini amat menyedihkan apabila rumahnya tidak dapat diduduki dengan selesa.
"Biasanya anak-anak akan pulang beraya bersama saya, tetapi kali ini rumah pula rosak teruk.
"Saya juga terpaksa berhenti menerima tempahan kek buat sementara waktu, menyebabkan pendapatan saya semakin berkurang," ujarnya.
Menceritakan detik cemas ketika ribut melanda, Latifah memberitahu, semasa kejadian itu, dia dan dua lagi anak asuhan yang masih bayi berada di dalam rumah.
"Saya terkejut melihat siling jatuh di depan mata sendiri, namun tetap syukur sebab tiada sebarang kecederaan membabitkan kami," ujarnya.
Seorang lagi mangsa, Abu Supian Mohammad, 35, turut mengalami nasib sama apabila ribut menyebabkan bumbung rumahnya bocor, sekali gus menjejaskan keselamatan keluarganya.

"Kos membaiki rumah dianggarkan RM20,000 tidak termasuk kerosakan barangan elektrik dan perabot.
"Kami benar-benar buntu terutama dengan Aidilfitri yang semakin hampir," katanya yang menetap bersama ibu bapanya di taman perumahan berkenaan.
Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang menggunakan komputer riba sebelum tiba-tiba angin kencang menerbangkan sebahagian bumbung rumahnya.
"Ruang tamu, dapur dan bilik semuanya rosak. Kami terpaksa melupakan persiapan raya dan fokus untuk membaiki rumah dahulu.
"Seminggu sebelum ribut, memang kami ada rancang untuk beli baju dan kuih raya, tapi dalam keadaan begini, kami terpaksa lupakan dulu kemeriahan Aidilfitri," tambahnya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian dengan menghubungi Latifah di talian 019-6697257 atau Abu Supian (017-3059007).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

