Pantai Esen kini semakin pulih

Farizan bersama wartawan dan jurugambar bergambar di tapak projek Pulau Silikon dalam Lawatan Media ke Tapak Pulau Silikon pada Selasa.
Farizan bersama wartawan dan jurugambar bergambar di tapak projek Pulau Silikon dalam Lawatan Media ke Tapak Pulau Silikon pada Selasa.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Keadaan Pantai Esen di Batu Maung yang tercemar dengan selut tebal sejak Julai lalu kini semakin pulih setelah kerja pembersihan dilakukan oleh Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PIC) sejak 24 Oktober sehingga kini.

Ketua Pegawai Eksekutif PIC, Datuk Seri Farizan Darus berkata, pihaknya telah menjalankan beberapa pelan tindakan untuk memastikan kawasan pantai dan sekitarnya berada dalam keadaan baik.

Menurutnya, walaupun keputusan ujian sampel belum diperolehi, pihaknya mengambil tanggungjawab tersebut berikutan kerja tambakan di Pulau Silikon sering dikaitkan dengan kejadian di pantai berkenaan.

"Kita menjalankan beberapa pelan jangka masa pendek iaitu kerja pembersihan di pantai tersebut selain melantik perunding dan pakar hidraulik untuk mencari punca masalah tersebut bagi pelan jangka masa sederhana.

"Sementara itu, pelan jangka panjang pula, jika diperlukan seperti yang disyaratkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), kita akan menjalankan kerja-kerja mendalamkan terusan di kawasan pantai itu.

"Buat masa sekarang, tiada keperluan untuk menjalankan pelan tersebut," katanya pada sidang akhbar di Lawatan Media ke Tapak Pulau Silikon di sini pada Selasa.

Penduduk berhampiran mendakwa kehadiran lumpur dan selut tebal yang berbau busuk berpunca daripada projek tambakan laut untuk projek Pulau Silikon.
Penduduk berhampiran mendakwa kehadiran lumpur dan selut tebal yang berbau busuk berpunca daripada projek tambakan laut untuk projek Pulau Silikon.

Artikel Berkaitan:

Farizan menambah, pelbagai dakwaan telah dibuat kononnya kejadian selut dan lumpur tebal itu berpunca daripada projek tambakan untuk Pulau Silikon berkenaan.

"Pelbagai dakwaan mengatakan ia berpunca daripada projek ini namun daripada saintifiknya, masih belum dapat dibuktikan. Sebab itu, sampel yang kita ambil, kita masih lagi menunggu keputusan dari makmal.

"Bukan pihak kita sahaja, JAS juga telah mengambil sampel, namun ia memerlukan masa sehingga tiga bulan untuk mendapat keputusan. Bukan itu sahaja, Jabatan Perikanan Malaysia juga telah mengambil sampel untuk mencari punca kejadian," katanya.

Bagaimanapun Farizan berkata, berdasarkan laporan awal yang diperolehi dari makmal swasta, dapatan mendapati, kejadian itu berpunca daripada kehadiran alga.

"Walaupun dapatan itu mengatakan ia berpunca daripada kehadiran alga, kita masih mencari punca dari mana alga ini hadir. Sama ada akibat kerja-kerja tambakan atau sebaliknya.

"Ini kerana, jika ia dikatakan berpunca daripada kerja tambakan, sepatutnya dalam 'silk curtain' itu, benda yang sama akan berlaku tetapi tidak ada (dalam silk curtain).

"Ada kemungkinan sumber ini datang dari sumber-sumber lain yang akan kita tentukan kemudian, agak terlalu awal untuk kita katanya ia berpunca daripada projek ini," katanya.

Sebelum ini, Pantai Esen yang terletak di Permatang Damar Laut, Batu Maung dilaporkan mengalami pencemaran yang teruk apabila dipenuhi dengan selut tebal selain berbau busuk.

Tempat peranginan tersebut yang dahulunya terkenal dengan keindahan pantainya yang cantik dan bersih selain pemandangan matahari terbenam yang sangat cantik, kini diibarat 'pantai hantu' kerana tiada pengunjung berikutan air lautnya kotor dan tercemar.

Selut tebal telah memenuhi pesisiran pantai menyebabkan air laut menjadi kotor dan berbau busuk.

Menurut penduduk di kawasan tersebut, keadaan selut tebal berwarna hitam itu dipercayai berpunca daripada kerja tambakan untuk Projek Pulau Silikon yang dijalankan di kawasan tersebut.

Tambah mereka, sebelum projek tambakan itu dijalankan, air laut akan naik sehingga ke daratan sekiranya musim air pasang besar namun kini, ia seperti tersekat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!