'Saya tak beri anak makan jajan pelik'

KUALA TERENGGANU - Rata-rata ibu bapa di Terengganu kini mengambil pendekatan, sentiasa mengingatkan anak-anak supaya tidak membeli makanan ringan yang dijual di kawasan luar sekolah demi keselamatan dan mereka.
Penjawat awam, Siti Jamilah Hanim Jamil, 41, berkata, dia sentiasa berpesan kepada anaknya supaya tidak membeli makanan ringan yang pelik seperti gummy berbentuk bebola mata.
“Sebelum kes kanak-kanak meninggal dunia selepas tercekik gula-gula kenyal itu, saya memang dah lama pesan dan ingatkan pada anak-anak supaya jangan sesekali beli jajan pelik yang dijual di luar kawasan sekolah.
“Hanya beli makanan yang dijual di kantin kerana kebiasaan makanan dijual penjaja di luar sekolah tidak berkhasiat dan tak bagus untuk kesihatan.
“Saya harap penjualan gummy seperti itu seperti itu dihentikan di kawasan berhampiran sekolah kerana kanak-kanak lebih tertarik membeli dan mencuba makanan viral, lebih-lebih lagi jika ramai rakan-rakan sekolah lain turut membelinya,” katanya kepada Sinar Ahad.
Tinjauan di sebuah kedai runcit di sini mendapati gummy berbentuk bebola mata tidak kelihatan di ruang jualan namun terdapat gula-gula kenyal viral yang lain.
Sementara itu, jurujual, Kamilia Abdul Jalil, 37, berkata, dia turut melarang anaknya untuk membeli makanan ringan yang dijual oleh penjaja di luar sekolah.
“Anak pernah beritahu pada saya bahawa kawan dia ada bagi gummy berbentuk bebola mata tapi anak saya tak makan sebab saya dah pernah larang jangan makan benda pelik.
“Jadi anak hanya jadikannya sebagai mainan. Sangat bahaya sebab saiz gula-gula itu sangat besar, jadi perlu banyak kali pesan pada anak supaya hati-hati dan tak makan makanan sedemikian,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
