Ambil pengajaran tragedi gula-gula kenyal

MESKIPUN kelihatan comel dan dijual dengan harga murah, gula-gula kenyal atau gummy ini boleh menjadi ancaman serius kepada pembeli terutama kanak-kanak.
Sebelum ini, seorang murid Tahun 4 Sekolah Kebangsaan Sungai Dua, Butterworth, Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10, yang dipercayai tercekik gula-gula kenyal.
Mohamad Fahmi Hafiz yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Pulau Pinang menghembuskan nafas terakhirnya pada jam kira-kira 11 malam Khamis.
Tekstur gula-gula kenyal yang sukar larut boleh menyebabkan saluran pernafasan tersumbat jika tertelan secara tiba-tiba.
Sebelum ini, tular sebuah video yang memaparkan gula-gula kenyal bertukar menjadi tekstur seperti gam apabila dilenyek.
Rakaman berdurasi 11 saat itu memperlihatkan seorang individu menghancurkan gula-gula kenyal berbentuk mata lalu melekat di tangan seakan-akan gam.
Doktor Perubatan, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan turut berkongsi di akaun Facebooknya bahawa gula-gula kenyal itu tetap berisiko sekiranya tersedak jika tidak dikunyah dengan sempurna.
“Gula-gula berbentuk bulat seperti gula-gula keras serta berbentuk silinder seperti potongan sosej, lebih mudah tersangkut di saluran pernafasan.
“Gummy ini nampak lembut, jika saiznya terlalu besar atau tidak dikunyah sepenuhnya, teksturnya yang kenyal boleh menyebabkan risiko tersedak kerana ia boleh ‘mengembang’ dalam mulut.
“Anak-anak kita ini, bukan sentiasa ada di depan mata kita, jadi kita kena cuba didik anak-anak mengenai bahaya gula-gula,” katanya.
Dalam isu sebegini, ibu bapa perlu lebih prihatin dan tidak terlalu mudah memenuhi kehendak anak tanpa mempertimbangkan bahaya yang mungkin berlaku.
Biar anak menangis, jangan sampai kita yang menangis di kemudian hari.
Bagaimanapun, perkara ini mungkin berlaku di luar pengetahuan ibu bapa apabila anak-anak membeli gula-gula itu ketika pulang dari sekolah atau bersama rakan-rakan.
Oleh sebab itu, selain tanggungjawab ibu bapa, kerajaan juga perlu mengambil tindakan tegas terhadap penjualan makanan yang boleh membahayakan kesihatan dan keselamatan anak-anak.
Kerajaan disaran membuat pemantauan dan memperketatkan kawalan penjualan produk berisiko tinggi seperti gula-gula kenyal termasuk menetapkan had umur pembelian dan pelabelan amaran yang jelas.
Ia bertujuan memberi peringatan kepada ibu bapa dan mengelakkan daripada kanak-kanak membeli gula-gula tersebut.
Jadi kesimpulannya, jika semua pihak masih lalai dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing dan memandang enteng dengan perkara ini, tidak mustahil kejadian tragis yang melibatkan gula-gula kenyal mungkin akan berulang lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

