Cake cadang letak label had umur pada produk berisiko

ALOR SETAR - Produk makanan ringan atau ‘jajan’ yang berisiko dan boleh menarik minat kanak-kanak wajar diletakkan label atau dikategorikan penjualannya.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff mencadangkan agar label seperti ‘hanya sesuai untuk 12 tahun ke atas’ diletakkan pada bungkusan makanan ringan atau gula-gula kenyal kerana ia mendatangkan risiko.
Menurutnya, peringatan itu mungkin akan menyebabkan kanak-kanak sukar untuk membeli produk tersebut kerana dipantau oleh peniaga, namun pada masa sama peniaga perlu berikan kerjasama untuk menjayakannya.
“Letak had umur untuk beli produk berbahaya seperti gula-gula kenyal dan gula-gula getah.
”Ingatkan peniaga supaya tidak jual kepada kanak-kanak atau bawah usia sesuai, dan jika ingkar kenakan tindakan kepada peniaga. Arahan ini boleh dikuatkuasakan seperti arahan penjualan rokok,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Mohamad Yusrizal berkata, pihak berkuasa terlibat perlu tegas menambah baik peraturan sedia ada, dan ia bukan bertujuan menutup ‘periuk nasi’ peniaga sebaliknya atas faktor keselamatan dan kesihatan.
“Mungkin sudah tiba masanya makanan ringan dan gula-gula diberikan garis panduan dalam penjualannya dengan syarat lebih ketat bagi mengelak peniaga menjual sembarangan produk dalam pasaran,” ujarnya.
Menurutnya, kes kematian murid Tahun 4 yang dilaporkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas dipercayai tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata harus dijadikan iktibar oleh semua pihak.
“Amat wajar produk tersebut diharamkan penjualan dalam negara kerana ia tidak beri manfaat. Peniaga boleh jual pelbagai produk lain khusus pada kanak-kanak berbanding produk berisiko seperti itu,” katanya.
Mohamad Yusrizal berkata, produk yang berisiko tersedak perlu dipantau penjualannya termasuk dikawal pembeliannya oleh ibu bapa dan pihak sekolah.
“Semua pihak perlu ambil serius perkara ini dan beri kerjasama sepenuhnya. Ini kerana sudah menjadi kebiasaan kanak-kanak mencuba makanan tular atau berbahaya kerana mereka tidak peka atau tidak tahu sama ada produk terbabit berisiko atau sebaliknya.
“Kesedaran mengenai nutrisi makanan juga wajar diuarkan kepada kanak-kanak dan ibu bapa agar lebih berhati-hati. Selain risiko terdesak, makanan seumpama itu menyebabkan pengambilan gula berlebihan dan tidak sihat diamalkan,” ujarnya.
Tegasnya, penjualan secara berleluasa dan tidak dikawal boleh mengundang bahaya termasuk kematian dan tidak salah jika kerajaan lebih bertegas dalam isu ini dengan memperkenalkan undang-undang baharu yang berkaitan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

