Hal ehwal upacara, ibadat selain agama Islam hanya boleh ditadbir melalui kumpulan masing-masing

Laporan Sinar Harian berhubung syor ahli Parlimen PH bagi mewujudkan menteri hal ehwal bukan Islam. Gambar kecil: Wan Ahmad Fauzi
Laporan Sinar Harian berhubung syor ahli Parlimen PH bagi mewujudkan menteri hal ehwal bukan Islam. Gambar kecil: Wan Ahmad Fauzi
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak berkuasa agama Islam sahaja dibenar untuk diwujudkan oleh Perlembagaan Persekutuan seperti Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) manakala hal ehwal upacara keagamaan dan ibadat agama selain Islam hanya boleh ditadbir melalui persatuan, badan atau institusi.

Pakar perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, perkara itu perlu difahami kerana kedudukannya jelas mengikut Perkara 11(2) Perlembagaan Persekutuan bahawa tiada mana-mana individu boleh dipaksa membayar sebarang cukai yang hasil kutipannya sama ada diperuntukkan secara khusus atau sebahagiannya bagi maksud selain daripada agama dianutinya.

Menurut beliau, orang bukan Islam diberi hak untuk menguruskan upacara agama, menubuhkan institusi keagamaan dan kebajikan serta memiliki atau mentadbir harta mengikut kaedah undang-undang bagi maksud agama mereka sendiri.

"Berbeza dengan kedudukan agama Islam, Perkara 12 (2) Perlembagaan Persekutuan yang hanya membenarkan peruntukan Persekutuan dan negeri dibelanjakan untuk menubuh atau menjaga institusi Islam serta memberi bantuan bagi tujuan ajaran agama.

"Selaras kewajipan Yang di-Pertuan Agong untuk memelihara Islam sebagai agama Persekutuan, maka prinsip tatakelola Islam turut terpakai dalam undang-undang Persekutuan yang bersifat awam. Justeru, hanya kedudukan menteri yang ditugaskan secara khusus dalam hal ehwal agama Islam sahaja dibenarkan oleh Perlembagaan.

"Ini kerana kepakaran menteri hal ehwal agama Islam dapat membantu Perdana Menteri dan ahli Jemaah Menteri mengenai prinsip tatakelola Islam serta perkara berkaitan perundangan Islam secara khusus," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui yang mahukan portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam.

Yu Hui berpandangan, langkah itu penting bagi memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini di samping memastikan tiada pihak yang terpinggir.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fauzi berpendapat, cadangan sedemikian tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang ahli Parlimen.

Malah, menurutnya, ahli Parlimen yang bersumpah untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan perlu lebih berhati-hati dalam mengeluarkan pandangan agar tidak menimbulkan polemik tidak sihat sehingga menambahkan lagi kegelisahan rakyat, khususnya orang Islam.

"Ahli Parlimen perlu sedar hak kebebasan beragama bagi bukan Islam hanya terbatas kepada amalan undang-undang peribadi yang lebih bersifat ritual (upacara keagamaan) dan ibadat. Sehinggakan urusan perkahwinan, pewarisan harta serta penjagaan anak sekalipun dipengaruhi oleh 'English Common Law', bukannya ditentukan mengikut ajaran agama mereka.

"Berbeza dengan kedudukan Islam yang bukan sahaja agama bagi Persekutuan, bahkan negeri melainkan Sarawak sahaja yang tidak memperuntukkan perkara tersebut dalam perlembagaannya.

"Namun begitu, kewajipan Yang di-Pertuan Agong untuk memelihara agama Islam dan kedudukan pihak berkuasa agama Islam termaktub dalam setiap undang-undang tubuh serta perlembagaan negeri. Struktur asas perlembagaan ini perlu dihormati semua pihak," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!