Henti cadangan pelik, fokus bina negara bersama - Pemuda Amanah

Laporan Sinar Harian mengenai cadangan seorang ahli Parlimen kerajaan agar portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam. Gambar kecil: Abrar
Laporan Sinar Harian mengenai cadangan seorang ahli Parlimen kerajaan agar portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam. Gambar kecil: Abrar
A
A
A

GEORGE TOWN - [DIKEMAS KINI] Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Pulau Pinang tidak bersetuju dengan cadangan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui untuk melantik Menteri bagi Hal Ehwal Agama Bukan Islam di peringkat Persekutuan.

Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Pulau Pinang, Abrar Sadiq berkata, cadangan dikemukakan Ahli Parlimen DAP itu tidak selari dengan sistem pentadbiran negara serta boleh menimbulkan polemik yang tidak perlu.

Menurutnya, negara sudah mempunyai mekanisme yang mencukupi dalam menjaga kepentingan agama bukan Islam, termasuk melalui Kementerian Perpaduan yang berperanan memastikan keharmonian dan kebebasan beragama dalam negara.

"Maka, tiada keperluan untuk menambah satu lagi jawatan menteri yang hanya akan melibatkan implikasi kewangan tambahan kepada kerajaan.

"Cukup-cukuplah memberi ruang kepada Pas untuk menjadikan cadangan seperti ini sebagai modal perkauman mereka," katanya menerusi kenyataan di sini pada Khamis.

Abrar yang juga Ketua Pemuda Amanah Kepala Batas berkata, negara ini perlu bergerak ke hadapan dengan tumpuan kepada pembangunan, ekonomi, dan kesejahteraan rakyat, bukan dengan mencetuskan isu yang boleh mencabar sensitiviti masyarakat.

Beliau berkata, semua pihak terutama pemimpin politik perlu lebih bertanggungjawab dalam mengemukakan cadangan.

"Fokus utama seharusnya membina negara bersama, bukan menambah jurang perbezaan yang boleh dieksploitasi oleh pihak tertentu untuk kepentingan politik masing-masing," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, Yu Hui mencadangkan agar portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam.

Ahli Parlimen Raub itu berkata, langkah itu penting bagi memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini dan memastikan tiada pihak yang terpinggir.

Malah katanya, Exco khusus untuk menjaga rakyat bukan Islam juga turut diwujudkan di beberapa negeri antaranya Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak.

Dalam pada itu, Exco Pemuda Amanah Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda juga menyifatkan kenyataan jelik Yu Hui sepatutnya ditolak kerana Malaysia adalah sebuah negara dengan Islam sebagai agama Persekutuan.


Amanah Pahang bantah cadangan lantik menteri hal ehwal bukan Islam

KUANTAN – Amanah Pahang menolak cadangan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui yang menyarankan agar kerajaan melantik menteri hal ehwal bukan Islam.

Pengerusinya, Mohd Fadzli Mohd Ramly berpendapat, saranan dikemukakan oleh Yu Hui adalah isu terpencil dan bukan pendirian rasmi parti yang diwakilinya.

Menurutnya, cadangan tersebut tidak diperlukan dan bukan keutamaan kerajaan pada masa ini.

"Kami berhasrat untuk bertemu dengan Yu Hui agar persefahaman dapat diwujudkan berkenaan perkara ini.

"Penjelasan terhadap pendirian masing-masing dapat diperhalusi dengan lebih harmoni, sesuai dengan suasana Tahun Baharu Cina yang diraikan secara bersama," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Fadzli menjelaskan, cadangan itu tidak relevan kerana hak dan kebajikan masyarakat bukan Islam sudah terpelihara di bawah kerajaan Madani.

Tegasnya, Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan Islam sebagai agama rasmi negara.

Justeru, katanya, adalah bertepatan bagi sebuah kementerian ditempatkan di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk menguruskan hal ehwal Islam.

Beliau menambah, hak penganut agama lain tetap dijamin dan bebas diamalkan mengikut Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

"Semua kaum, tanpa mengira latar belakang agama, diberikan hak dan peluang yang sama untuk menikmati kehidupan yang wajar dan bermaruah di Malaysia.

"Buktinya, terdapat golongan berpendapatan tinggi (T20) daripada pelbagai kaum yang menjalani kehidupan selesa, manakala mereka yang kurang berkemampuan terus dibantu oleh agensi kerajaan tanpa diskriminasi," katanya.

Mohd Fadzli berkata, sebagai contoh, kerajaan telah memperuntukkan RM48.9 juta melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada tahun 2024 bagi projek penyelenggaraan rumah ibadat bukan Islam.

Ujarnya, selain itu, inisiatif Penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) turut diperkenalkan bagi memudahkan permohonan bantuan penyelenggaraan rumah ibadat.

Katanya, Kementerian Perpaduan turut memainkan peranan penting dalam memupuk perpaduan antara kaum dengan peruntukan sebanyak RM711.34 juta dalam Belanjawan 2025 termasuk bagi manfaat masyarakat bukan Islam.

"Dalam masa yang sama, kerajaan turut memperuntukkan RM2 bilion bagi pengurusan hal ehwal Islam sebagai memenuhi tanggungjawabnya terhadap agama rasmi negara.

"Kerajaan Persekutuan tidak pernah mengabaikan kepentingan mana-mana kaum dalam setiap pembentangan belanjawan.

"Peruntukan untuk pelbagai kaum disalurkan melalui kementerian berkaitan, termasuk MITRA bagi kaum India, dan usaha memperkasakan bantuan ini terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!