Portfolio menteri agama bukan Islam: DAP sekadar boleh berkhayal

Laporan Sinar Harian mengenai cadangan melantik seorang Menteri bagi Hal Ehwal Agama Bukan Islam di peringkat Persekutuan.
Laporan Sinar Harian mengenai cadangan melantik seorang Menteri bagi Hal Ehwal Agama Bukan Islam di peringkat Persekutuan.
A
A
A

PUTRAJAYA - DAP hanya boleh sekadar berkhayal dengan cadangan untuk mewujudkan portfolio Menteri bagi Hal Ehwal Agama Bukan Islam di peringkat Persekutuan.

Tegas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Islam adalah agama Persekutuan tetapi Perkara 11 juga menjamin kebebasan beragama untuk semua, namun tiada peruntukan yang menyediakan tata cara khusus pengurusan agama selain Islam.

Menurut beliau, pandangan dan cadangan boleh dibuat, namun akhirnya Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara adalah pemutus segalanya.

"Hormati Perlembagaan Persekutuan, kedudukan Islam dan Raja-Raja Melayu sebagai pemelihara Islam," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai cadangan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui yang mencadangkan supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam.

Langkah itu katanya, penting bagi memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini dan memastikan tiada pihak yang terpinggir.

Asyraf berkata, pindaan Perlembagaan Persekutuan melibatkan Islam dan Melayu boleh dibuat dengan syarat bukan sahaja ahli Parlimen mesti cukup 148 orang, iaitu dua pertiga majoriti yang menyokong.

Tetapi yang paling penting, mesti mendapat perkenan Majlis Raja-Raja Melayu.

Artikel Berkaitan:

"DAP hanya ada 40 kerusi, jadi boleh sekadar berkhayal sahaja jika mahu pinda Perlembagaan berhubung kedudukan Islam," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang perlu memainkan peranan yang lebih dominan dalam urusan perpaduan negara.

"Tiada keperluan Menteri Hal Ehwal Agama lain. Menteri Perpaduan yang patut jalankan kerja!" tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!