Syor pecah portfolio menteri hal ehwal agama bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan

SHAH ALAM - Syor agar portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk urusan agama Islam dan bukan Islam bercanggah dengan semangat dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki berkata, ia kerana Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.
"Peruntukan ini menegaskan kedudukan istimewa Islam sebagai agama Persekutuan, sementara memastikan kebebasan penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan mereka.
"Perlembagaan Persekutuan juga memberikan kebebasan kepada lain-lain agama untuk mengamalkan agama masing-masing dengan tertakluk kepada had untuk menyebarkannya berdasarkan Perkara 11(4)," katanya pada Khamis.
Cadangan pemecahan portfolio Menteri Hal Ehwal Agama itu disuarakan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja dalam sidang Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini dan memastikan tiada pihak yang terpinggir.
Justeru, Muhamad Hisham menegaskan, PPMM membantah saranan berkenaan kerana ia berpotensi menjejaskan keseimbangan yang telah lama terjalin dan boleh menimbulkan implikasi perlembagaan yang serius.
Menurutnya, selain itu, struktur pentadbiran sedia ada juga telah menyediakan mekanisme yang mencukupi untuk menjaga kepentingan penganut pelbagai agama di Malaysia.
"Penubuhan portfolio baharu dalam cabang kementerian berpotensi menimbulkan pertindihan fungsi dan seterusnya menjejaskan kecekapan pentadbiran.
"Tambahan pula, negara kita telah mempunyai Kementerian Perpaduan Negara yang di dalamnya terdapat jabatan-jabatan seperti Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) yang berperanan mengukuhkan integrasi nasional dan meningkatkan keharmonian antara penganut agama," ujarnya.
Muhamad Hisham berkata, fungsi-fungsi berkenaan termasuk menguruskan isu, konflik dan insiden perpaduan negara serta melaksanakan program intervensi dan mediasi.
Jelasnya, JPNIN perlu menjalankan fungsi yang maksimum dalam memastikan agenda keharmonian dapat diterapkan secara efektik.
"Jadi sebarang perubahan terhadap struktur pentadbiran agama negara perlu dilakukan dengan berhati-hati dan mengambil kira sensitiviti serta kepentingan semua pihak, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
"Cadangan-cadangan seperti pemecahan portfolio ini tidak wajar dipertimbangkan bagi memastikan negara berada dalam landasan terbaik untuk memupuk agenda harmoni sesama kaum agama dan budaya," tegasnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!