Cadangan wujudkan menteri hal ehwal agama lain tidak munasabah - ABIM

PUTRAJAYA - Cadangan memisahkan portfolio menteri hal ehwal agama kepada dua iaitu Islam dan bukan Islam adalah suatu perkara yang tidak munasabah.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin menegaskan, perkara itu hanya akan membawa kepada polemik yang tidak diperlukan.
Menurutnya, platform sedia ada seperti Jawatankuasa Harmoni dan penyelarasan yang membabitkan antara dua kementerian utama iaitu Kementerian Perpaduan Negara dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya.
"Mekanisme ini telah sedia ada dan boleh diperbaiki bagi memastikan isu-isu berkaitan agama dapat ditangani secara efektif serta selari dengan prinsip keharmonian dan perpaduan negara," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, isu yang membabitkan keharmonian antara kaum dan agama seharusnya dibincangkan terlebih dahulu secara dalaman bersama pihak kerajaan agar sebarang langkah yang diambil tidak mencetuskan ketegangan atau menjejaskan perpaduan.
"Sebarang usul dan cadangan yang tidak mempunyai asas keperluan yang jelas seperti yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Raub ini hanya menambahkan polemik yang tidak perlu dalam masyarakat," tegas Ahmad Fahmi.
Ujarnya, ABIM berpegang teguh bahawa perpaduan harus menjadi keutamaan dalam menangani isu umum yang membabitkan kepentingan bersama, termasuk keperluan sosial dan kesejahteraan rakyat.
"Kami turut mengingatkan semua pihak untuk sentiasa menjaga sensitiviti dalam mengemukakan sebarang cadangan atau usul yang melibatkan agama dan perpaduan nasional.
"Dalam masa yang sama, setiap pihak perlu menghormati batas latar belakang budaya dan agama yang berbeza demi mengekalkan keharmonian negara," katanya.
Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat di sini pada Rabu mencadangkan supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini dan memastikan tiada pihak yang terpinggir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!