Portfolio hal ehwal agama khusus untuk Islam sahaja - Faiz Fadzil

Laporan Sinar Harian berhubung syor ahli Parlimen bagi mewujudkan menteri hal ehwal bukan Islam. Gambar kecil: Faiz Fadzil
Laporan Sinar Harian berhubung syor ahli Parlimen bagi mewujudkan menteri hal ehwal bukan Islam. Gambar kecil: Faiz Fadzil
A
A
A

PUTRAJAYA - Portfolio hal ehwal agama adalah khusus untuk Islam sahaja selaras, kata Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil.

Menurutnya, perkara itu selaras dengan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah bagi Persekutuan.

Beliau berkata, cadangan pembahagian portfolio hal ehwal agama kepada dua iaitu Islam dan bukan Islam adalah satu cadangan yang tidak ada keperluan, malah tidak praktikal dan tidak menepati peruntukan serta semangat Perlembagaan Persekutuan.

"Kedudukan Islam di negara ini diperkukuhkan lagi dengan peruntukan Jadual Kesembilan Senarai II, yang menunjukkan betapa pentingnya Islam dalam kerangka asas Perlembagaan dan pentadbiran negara.

"Ini adalah kerana urusan hidup orang Islam bukan sahaja dikawal oleh undang-undang sivil yang merangkumi juga orang bukan Islam, tetapi juga undang-undang syariah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Jelas beliau, kedudukan Islam dalam Perlembagaan diperkasakan melalui pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang melalui penubuhan Mahkamah Syariah selaras dengan peruntukan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

"Atas peruntukan Perlembagaan Persekutuan inilah, maka sesuai dan praktikal diwujudkan portfolio hal ehwal agama Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan keberkesanan pentadbiran hal ehwal Islam dan pelaksanaan undang-undang," katanya.

Faiz berkata, sebagai satu kontrak sosial yang mengikat kepelbagaian kaum, Amanah tegas mempertahankan peruntukan Perlembagaan itu bagi memastikan martabat Islam terus terpelihara.

Justeru beliau berkata, Amanah yang mengangkat agenda wasatiyah percaya bahawa peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan sedia ada memadai bagi menjamin keharmonian rakyat dan perpaduan kaum.

Artikel Berkaitan:

Malah ujarnya, kerajaan Persekutuan telah bertindak adil dalam peruntukan belanjawan sesuai dengan kedudukan dalam Perlembagaan dengan RM2 bilion kepada hal ehwal Islam merangkumi semua perkara dan peruntukan untuk hal ehwal agama lain seperti RM48.9 juta untuk penyelenggaraan rumah ibadat bukan Islam.

"Ini menunjukkan bahawa walaupun portfolio hal ehwal agama hanya dikhususkan kepada Islam dan bukannya agama lain, hak dan kepentingan bukan Islam tetap dijaga dengan baik," katanya.

Cadangan pemecahan portfolio menteri hal ehwal agama itu disuarakan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja dalam sidang Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini dan memastikan tiada pihak yang terpinggir.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!