Portfolio menteri agama bukan Islam: Pemuda Pas tak setuju, bimbang timbul salah faham

Mohd Hafez
Mohd Hafez
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan melantik seorang Menteri bagi Hal Ehwal Agama Bukan Islam di peringkat Persekutuan disifatkan dangkal serta tidak berpaksikan realiti Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Mohd Hafez Sabri berkata, cadangan tersebut berpotensi menjejaskan keharmonian yang sudah lama terjalin antara masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia.

"Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan urusan hal ehwal agama Islam adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Raja sebagai Ketua Agama Islam.

"Tiada keperluan untuk mewujudkan jabatan khas bagi hal ehwal bukan Islam di peringkat Persekutuan kerana urusan berkaitan agama-agama lain sudah pun ditangani dengan baik melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) serta pelbagai agensi lain yang menjaga kepentingan semua rakyat tanpa mengira agama," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada sidang Dewan Rakyat mencadangkan supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua, melibatkan urusan agama Islam dan hal ehwal bukan Islam.

Mengula lanjut, Mohd Hafez menegaskan, cadangan tersebut tidak mengambil kira realiti keharmonian masyarakat Malaysia yang sudah lama hidup dalam suasana saling hormat-menghormati tanpa keperluan kepada struktur pentadbiran tambahan yang bersifat memecahbelahkan.

Malah menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi itu, Malaysia sudah lama mengamalkan pendekatan integrasi melalui perpaduan dengan semua agama dan kaum diraikan dalam kerangka sedia ada yang inklusif dan menyeluruh.

"Penubuhan jabatan seperti itu di peringkat Persekutuan berisiko menimbulkan salah faham dan ketegangan antara masyarakat Islam dan bukan Islam, selain boleh membuka ruang kepada manipulasi politik yang tidak sihat.

Artikel Berkaitan:

"Islam sebagai agama Persekutuan sudah diiktiraf dalam Perlembagaan dan hak penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan mereka juga dijamin, maka cadangan itu tidak relevan dan tidak diperlukan," tegasnya.

Beliau turut menyarankan Yu Hui supaya menumpukan lebih perhatian kepada isu-isu rakyat yang lebih mendesak seperti kos sara hidup, pendidikan, peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi berbanding mencetuskan polemik yang tidak membawa manfaat kepada masyarakat.

"Pemuda Pas menggesa semua pihak terutama ahli politik, untuk lebih bertanggungjawab dalam setiap cadangan yang dikemukakan agar tidak mengganggu-gugat keharmonian dan kestabilan negara.

"Malaysia sudah lama menikmati keamanan melalui pendekatan sedia ada dan tiada keperluan untuk mencipta struktur yang berisiko menimbulkan perpecahan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!