Skor CPI tak berganjak, C4 gesa kerajaan laksana reformasi institusi secara drastik

SHAH ALAM - Kerajaan perlu melakukan reformasi institusi yang drastik sekiranya ingin mencapai kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI), 25 teratas menjelang 2033.
Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Centre) berkata, kedudukan Malaysia yang tidak berubah bagi tahun 2024 berkemungkinan besar disebabkan oleh kegagalan kerajaan dalam menunaikan janji untuk memperkenalkan pembaharuan antirasuah yang mantap.
Menurutnya, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen kerajaan menentang jenayah itu, namun ia masih dilihat gagal apabila melibatkan individu terkemuka yang terlibat dalam rasuah.
“Pada tahun lalu sahaja, kerajaan telah berdepan tuduhan ketidakcekapan pendakwaan sepanjang mengendalikan beberapa kes rasuah berprofil tinggi.
“Antaranya kes Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dilepaskan dan dibebaskan (DNAA) bagi 47 pertuduhan rasuah dalam kes Yayasan Akalbudi; bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diringankan hukuman penjara lima tahun dan denda RM50 juta selepas didapati bersalah dalam perbicaraan SRC International dengan kemungkinan pengurangan selanjutnya kepada tahanan rumah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan Malaysia mengekalkan kedudukan ke-57 dalam CPI 2024 dengan skor 50 mata, tidak berubah berbanding tahun lalu menurut laporan Transparency International Malaysia (TI-M).
Dari kedudukan negara ASEAN, Malaysia berada di tempat kedua terbaik selepas Singapura yang merekod skor 84 dan berada di tangga ketiga daripada 180 negara.
Justeru, C4 Centre menegaskan, kerajaan mesti bertindak segera jika mahu merealisasikan aspirasi untuk berada di kedudukan 25 teratas.
Katanya, apabila kerajaan secara proaktif memperkenalkan pembaharuan, ia secara prospektif dapat mewujudkan persepsi bagi pihak berkepentingan bahawa negara telah bersedia menangani rasuah melalui mekanisme yang telah ditetapkan.
“Tujuan CPI ini sebagai batu loncatan untuk membimbing negara ke aras tadbir urus yang baik dan pembaharuan dalam antirasuah.
“Oleh itu, kerajaan perlu memperkenalkan mekanisme dan pembaharuan kritikal yang memudahkan tadbir urus lebih baik dan kemudiannya dapat mengurangkan jenayah tersebut pada masa depan,” katanya.
C4 Centere mencadangkan, kerajaan boleh menggubal undang-undang baharu tadbir urus baik selain mewujudkan undang-undang pengisytiharan aset dan rangka kerja ahli politik serta memastikan kebebasan institusi antirasuah utama seperti pengasingan pejabat Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
“Aspirasi pencegahan rasuah yang lebih besar harus menjadi usaha bersama antara kerajaan dan rakan parti politik yang lain,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!