ABIM gesa banteras rasuah menyeluruh, tumpu kumpulan pelaksana penjawat awam

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa kerajaan untuk melaksanakan pembasmian gejala rasuah secara menyeluruh dengan menumpukan kepada kumpulan pelaksana dalam penjawat awam.
Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, pendekatan itu penting bagi menangani masalah integriti dan rasuah yang semakin membimbangkan serta merosakkan kepercayaan rakyat terhadap institusi pentadbiran negara.
Menurutnya, ABIM menyambut baik penubuhan pasukan petugas khas susulan keputusan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024 yang menunjukkan Malaysia kekal di kedudukan ke-57 dengan skor 50 mata.
Bagaimanapun, tegas beliau, tanggungjawab meningkatkan urus tadbir dan tata kelola tidak hanya tertumpu kepada pemimpin serta ahli politik, tetapi juga kumpulan pelaksana.
"ABIM memandang serius kes berkaitan integriti libat kumpulan pelaksana turut menjejaskan kepercayaan rakyat. Contohnya, isu pemilikan geran tanah di Selangor membabitkan individu tertentu dalam golongan berkenaan yang mendapat perhatian umum baru-baru ini menunjukkan keperluan mendesak untuk membanteras penyalahgunaan kuasa di semua peringkat.
"Justeru, tindakan berani perlu diambil bagi memperbaiki sistem tadbir urus negara, sekali gus meningkatkan persepsi umum terhadap ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran.
"Ini penting untuk memastikan setiap dasar dapat dilaksanakan dengan sempurna. ABIM percaya dengan tindakan tegas dan reformasi menyeluruh, Malaysia dapat memperbaiki skor CPI pada tahun akan datang di samping mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan serta reformasi yang sedang dilaksanakan," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Menurut laporan Transparency International Malaysia (TI-M) pada Selasa, Malaysia mengekalkan kedudukan ke-57 dalam CPI 2024 dengan skor 50 mata, tidak berubah berbanding tahun lalu.
Dari segi kedudukan negara ASEAN, Malaysia berada di tempat kedua terbaik selepas Singapura yang merekodkan skor sebanyak 84 dan berada di tangga ketiga daripada 180 negara.
Presiden TI-M, Dr Muhammad Mohan memaklumkan, meskipun tidak mengalami kemerosotan, beberapa faktor termasuk semakan semula hukuman penjara dan pengurangan denda selepas disabitkan oleh mahkamah tertinggi ke atas kes berprofil tinggi mungkin mempengaruhi ekoran tiada peningkatan terhadap skor kedudukan Malaysia.
Jelasnya, ia mewujudkan persepsi unsur campur tangan politik dalam badan kehakiman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

