CPI 2024 Malaysia kekal di tangga ke-57 membimbangkan - MCW

SHAH ALAM - Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyuarakan kebimbangan terhadap keputusan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024 yang menunjukkan Malaysia kekal di tangga ke-57, tanpa sebarang peningkatan berbanding tahun sebelumnya.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, kedudukan ini mencerminkan usaha pembanterasan rasuah masih belum cukup untuk mengubah persepsi global terhadap tadbir urus negara.
“Indeks ini bukan sekadar mengukur keberkesanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pendakwaan kes rasuah, tetapi turut mengambil kira aspek tadbir urus secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau menegaskan bahawa sistem perundangan yang lebih telus dan berkesan diperlukan bagi memastikan keadilan dan integriti dalam pentadbiran negara. Selain itu, karenah birokrasi perlu dikurangkan untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam serta mempercepatkan proses pentadbiran.
“Daya saing dan produktiviti ekonomi juga perlu diperkukuhkan dengan mewujudkan persekitaran yang lebih telus dan bebas daripada pengaruh korupsi,” katanya.
Menurut beliau, kestabilan politik dan dasar awam yang lebih kukuh adalah faktor penting dalam meningkatkan keyakinan masyarakat serta pelabur terhadap pentadbiran kerajaan.
Pada masa sama, kerajaan juga perlu memastikan perlindungan penuh terhadap pemberi maklumat bagi menggalakkan lebih ramai individu tampil melaporkan salah laku dalam sektor awam dan swasta.
MCW turut menggesa agar perbincangan mengenai CPI tidak hanya tertumpu kepada isu rasuah, tetapi merangkumi aspek tadbir urus secara menyeluruh.
“Jika Malaysia mahu meningkatkan kedudukan dalam CPI, perubahan yang lebih menyeluruh perlu dilaksanakan di semua sektor pentadbiran dan ekonomi,” kata MCW.
Dalam pada itu, MCW menyeru semua pihak agar memainkan peranan dalam memastikan reformasi antirasuah tidak sekadar retorik, tetapi diterjemahkan kepada tindakan konkrit bagi mengembalikan keyakinan rakyat serta pelabur terhadap integriti pentadbiran negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

