SPRM perhebat usaha banteras rasuah, sasar CPI lebih baik

SPRM akan terus memperhebat proses siasatan dan inisiatif pencegahan serta meningkatkan program pendidikan yang lebih berkesan bagi mencegah amalan rasuah di negara ini. - Gambar hiasan
SPRM akan terus memperhebat proses siasatan dan inisiatif pencegahan serta meningkatkan program pendidikan yang lebih berkesan bagi mencegah amalan rasuah di negara ini. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan terus memperhebat proses siasatan dan inisiatif pencegahan serta meningkatkan program pendidikan yang lebih berkesan bagi mencegah amalan rasuah di negara ini.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, pelaksanaan usaha berterusan itu selaras dengan keazaman kerajaan meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

Katanya, suruhanjaya itu mengambil maklum pengumuman Transparency International Malaysia (TI-M) berhubung keputusan CPI 2024 yang menyaksikan negara mengekalkan skor 50 dan berada di kedudukan ke-57 secara global.

"SPRM menyokong penuh kenyataan Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang menegaskan keazaman untuk bersama meningkatkan kedudukan Malaysia dalam CPI.

"Sebagai agensi utama dalam membanteras rasuah, SPRM akan terus memperhebat penyiasatan serta inisiatif pencegahan dan pendidikan yang lebih berkesan," kata kenyataan itu pada Rabu.

Dalam pada itu menurutnya, SPRM melalui Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) yang berperanan sebagai urus setia kepada Pasukan Petugas Khas CPI dan dipimpin oleh KSN akan terus meneliti dapatan kajian bagi mengenal pasti aspek yang perlu diperbaiki.

Tambahnya, SPRM juga akan mempergiat kerjasama dengan semua pemegang taruh termasuk pihak kementerian, sektor swasta, masyarakat umum serta TI-M.

Suruhanjaya itu berkata, usaha mempertingkatkan CPI bukan hanya bergantung kepada penguatkuasaan tetapi juga memerlukan usaha menyeluruh daripada semua pihak.

"Justeru, SPRM berharap semua pihak meneruskan kerjasama serta memainkan peranan masing-masing untuk menambah baik strategi pencegahan dan memperkukuh tadbir urus.

Artikel Berkaitan:

"Perkara ini penting demi mencapai sasaran kerajaan meletakkan Malaysia dalam kelompok 25 negara terbaik dunia menjelang 2033," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!