Malaysia kekal tempat ke-57 dalam Indeks Persepsi Rasuah 2024

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Malaysia mengekalkan kedudukan ke-57 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024 dengan skor 50 mata, tidak berubah berbanding tahun lalu menurut laporan Transparency International Malaysia (TI-M) yang dikeluarkan pada Selasa.
Dari segi kedudukan negara ASEAN, Malaysia berada di tempat kedua terbaik selepas Singapura yang merekod skor 84, dan berada di tangga ketiga daripada 180 negara.

Presiden TI-M, Dr Muhammad Mohan berkata, walaupun tidak mengalami kemerosotan, beberapa faktor termasuk semakan semula hukuman penjara dan pengurangan denda selepas disabitkan oleh mahkamah tertinggi ke atas kes berprofil tinggi mungkin mempengaruhi sebab tiada peningkatan terhadap skor kedudukan Malaysia.
Menurutnya, ia mewujudkan persepsi unsur campur tangan politik dalam badan kehakiman.
"Bilangan kes-kes DNAA (dilepas tanpa dibebaskan) yang tinggi, diberikan untuk kes berprofil tinggi juga mewujudkan persepsi bahawa terdapat unsur campur tangan politik dalam badan kehakiman.
"Selain itu, walaupun pihak SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah) telah membuat tangkapan, masih terdapat kes-kes salah guna kuasa dan rasuah yang berterusan oleh penjawat awam.
"Laporan buruk yang berterusan dalam laporan Ketua Audit Negara mengenai kesalahan dan tatakelola yang lemah oleh pegawai kerajaan juga tidak diberikan hukuman yang sewajarnya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambah beliau, walaupun Kerajaan Madani telah memberikan penekanan terhadap tatakelola yang baik dan pembaharuan institusi, usaha-usaha pembaharuan institusi masih bergerak dengan perlahan.
Katanya, sektor perniagaan juga masih melihat rasuah sebagai isu utama dengan budaya 'duit kopi' yang masih berleluasa dan perlu dibendung dalam sektor awam.
"Walaupun Malaysia berada di kedudukan yang kekal dan memperoleh skor yang sama, kerajaan hendaklah menyedari bahawa negara kita mempunyai visi untuk mencapai kedudukan di antara 25 buah negara teratas di dunia menjelang tahun 2033.
"Malaysia hendaklah memperoleh skor sebanyak 68-70 mata untuk mencapai kedudukan tersebut. Oleh itu, Malaysia perlu meningkatkan skor sekurang-kurangnya dua mata setiap tahun sehingga 2033 demi mencapai sasaran yang ditetapkan," tegasnya.
Sehubungan itu, Muhammad menggesa mempercepat proses pembaharuan institusi untuk memastikan wujudnya ketelusan, akauntabiliti dan memastikan tiada unsur campur tangan politik dengan badan penguatkuasa seperti SPRM dan badan kehakiman.
"TI-Malaysia ingin mengulangi bahawa Kerajaan hendaklah mempertimbangkan dan memberi penekanan untuk menambah baik Integrity Pact selari dengan piawaian antarabangsa dengan mewujudkan pengawasan bebas untuk projek mega bagi memastikan bahawa wang pembayar cukai dibelanjakan dengan telus.
"Kerajaan hendaklah memanfaatkan perkembangan teknologi terkini seperti Kepintaran Buatan (AI),rantaian blok (blockchain) dan data besar (big data) untuk mengurangkan risiko birokrasi dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan dalam sektor awam yang akan memberi kesan kepada usaha membanteras rasuah," katanya.
Keputusan CPI 2024 dilancarkan Gabungan antirasuah global TI merupakan hasil sembilan tinjauan yang berbeza berdasarkan penilaian pakar perniagaan dan negara.
Penilaian tersebut mengukur persepsi tahap rasuah dalam sektor awam di 180buah negara dan wilayah di seluruh dunia.
Keputusan 2024 juga menyaksikan tiga buah 'negara bersih dari ancaman rasuah' yang berjaya menduduki tiga tangga teratas dalam indeks tersebut ialah Denmark, Finland dan Singapore dengan skor sebanyak 90 mata, 88 mata dan 84 mata.
Sementara itu, negara-negara yang berada di kedudukan tercorot dalam indeks tersebut merupakan Venezuela, South Sudan dan Somalia dengan masing-masing memperoleh skor sebanyak sepuluh, sembilan dan lapan mata.
Berdasarkan skor CPI, lebih tinggi skor direkodkan, lebih bersih sesebuah negara daripada amalan rasuah manakala lebih rendah skor bermaksud lebih tinggi kes rasuah berlaku.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
