Makin ramai kunjungi pasar pagi insiden pukul OKU

KEMAMAN - Operasi perniagaan di pasar pagi Jalan Padang Astaka, Chukai di sini berjalan seperti biasa pada Jumaat, malah jumlah pengunjung semakin bertambah berbanding kebiasaan.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi berkenaan sekitar jam 10 pagi tadi mendapati orang ramai berpusu-pusu mengunjungi pasar itu walaupun cuaca hujan.
Seorang peniaga, Rabiatul Tadawiyah Yusof, 31, berkata, jumlah pengunjung ke gerainya bertambah termasuk yang ingin mendapatkan air balang dijual.
"Hari ini perniagaan berjalan seperti biasa dan pengunjung tidak berkurangan. Ada hari tertentu jumlah pengunjung ke sini dilihat semakin bertambah.
"Saya ada juga dengar khabar angin mengenai usaha sesetengah pihak untuk boikot pasar ini, tapi saya harap ia tak menjadi sebab jumlah pengunjung masih seperti biasa sejak semalam (Khamis)," katanya.

Menurut Rabiatul Tadawiyah, perniagaan di situ beroperasi tiga kali seminggu iaitu setiap Isnin, Khamis dan Jumaat.
"Kita harap orang ramai tidak bertindak memboikot pasar pagi dan pasar malam di sini kerana ia adalah sumber rezeki kami," katanya.
Sementara itu, Nur Saidatul Nabihah Mohd Yusof, 18, berkata, dia bersyukur kerana jualannya pada Jumaat laris, malah tidak putus-putus menerima kunjungan pelanggan.
"Saya bersyukur kerana tidak wujud unsur-unsur memboikot pasar pagi ini kerana perniagaan berjalan seperti biasa.
"Saya harap keharmonian yang ada di sini dikekalkan dan tiada wujudnya usaha boikot memandangkan saya dan ramai lagi peniaga lain mencari rezeki di sini," ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Kamaruddin Ahmad, 73, berkata, orang ramai tidak perlu bimbang untuk berkunjung ke situ selepas insiden pukul melibatkan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) pada Jumaat minggu lalu.
"Saya telah lebih 40 tahun berniaga di sini dan insiden ini kali pertama terjadi.
"Orang Kemaman semuanya baik dan apa yang berlaku itu adalah kes yang amat jarang berlaku," katanya.
Seorang pengunjung, Nur Hashimah Ismail, 34, dari Kuantan, berkata, dia berkunjung ke situ selepas mengetahui berita tular susulan insiden berlaku.
"Saya tak ada rasa bimbang malah rasa selamat sahaja apabila berkunjung ke sini.
"Saya percaya, insiden itu hanya melibatkan segelintir individu bukan menggambarkan keseluruhan sikap orang Kemaman," ujarnya.
Pengerusi Pasar Tani Chukai, Rosli Amat berkata, insiden yang berlaku di pasar pagi itu tidak menjejaskan perniagaan pasar tani yang terletak bersebelahan lokasi itu.
"Kita ada keseluruhan kira-kira 150 peniaga yang beroperasi di lokasi ini. Malam Isnin lepas, jumlah pengunjung meningkat mendadak, ada pengunjung yang tak pernah nampak datang pun datang ke sini.
"Dengan kunjungan ramai ini kita akan pastikan keadaan di sini sentiasa selamat dan terkawal.
"Pasar tani kita ada biro keselamatan yang sentiasa memantau, selepas ini kita akan perketatkan lagi pemantauan bagi menjamin keselamatan peniaga dan pengunjung," katanya.
Tapak perniagaan itu kini menjadi tumpuan ramai selepas insiden seorang lelaki OKU kategori mental dipukul di hadapan orang ramai.
Kes itu menarik perhatian setelah rakaman video berdurasi 1 minit 52 saat mengenai kejadian tersebut tular di media sosial.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!