Kes pukul OKU: Polis tunggu laporan lengkap perubatan mangsa

KEMAMAN - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan kertas siasatan berhubung kes pukul melibatkan orang kurang upaya (OKU) kategori mental telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara pada Khamis.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhammad Wan Ja'afar berkata, kertas siasatan itu dikembalikan semula kepada pihak PDRM bagi menunggu laporan lengkap perubatan mangsa.
"Pada 23 Januari lalu, kertas siasatan telah dirujuk ke Jabatan Peguam Negara dan hasil penelitian serta semakan keterangan, Timbalan Pendakwa Raya telah mengarahkan pihak polis mendapatkan laporan lengkap perubatan mangsa dari Hospital Kemaman.
"Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai atau mana-mana pengguna media sosial agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengganggu siasatan atau mendatangkan kegusaran awam.
"Mereka didapati melakukan kesalahan boleh diambil tindakan undang-undang," katanya di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, katanya, pihak polis sentiasa memastikan siasatan dijalankan secara telus dan akam memaklumkan perkembangan kes dari semasa ke semasa.
Sehingga kini enam suspek dipercayai terlibat dalam kes itu telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Minggu lalu, Sinar Harian melaporkan insiden seorang lelaki dipukul di hadapan orang ramai di pasar pagi Jalan Padang Astaka, Chukai, di Kemaman.
Siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca apabila mangsa yang menunggang motosikal telah memasuki tapak jualan, lalu terlanggar sebuah gerai menyebabkan barangan jualan di gerai tersebut terjatuh dan bertaburan di atas jalan.
Susulan itu, beberapa individu yang berada di lokasi tersebut dipercayai telah telah bertindak memukul mangsa.
Insiden mangsa dipukul menarik perhatian ramai setelah rakaman video berdurasi 1 minit 52 saat mengenai kejadian tersebut tular di media sosial.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!